TRAUMA mungkin bukanlah satu perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan wanita bernama Lufya Omar ini.
Namun, tidak dapat tidak, tentu ada sekelumit perasaan bimbang andai mahu mendirikan rumah tangga semula terutama selepas pernah mengalami kegagalan menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang doktor perubatan estetik tidak lama dahulu.
Bagaimanapun, hanya setelah setahun menjanda, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar ini mengaku baru kini terbuka hati untuk bercakap mengenai soal jodoh baharu sementelah merasakan diri semakin positif.
Kata penyanyi dan pelakon ini, sebelum ini, sukar untuk dirinya membuka bicara mengenai soal itu kerana masih dibelenggu dengan pengalaman lama yang berbekas di hati.
“Kalau dulu, memang hati itu tertutup, tak nak fikir langsung soal kahwin. Tetapi, rasanya, sekarang saya dah tak mahu dah sekat jodoh.
“Jika benar Allah SWT kurniakan saya jodoh yang baik dan lelaki yang tepat untuk hadir menemani hidup, saya sudah semakin terbuka dan menerima.
“Saya dapat rasakan, diri kini semakin positif berbanding dahulu. InsyaAllah,jika benar jalannya, saya okey untuk kembali berkahwin,” katanya.
Bagaimanapun, kata Lufya, usah salah faham.
Ini kerana, perkahwinan bukanlah perkara pokok yang menjadi fokus buat dirinya pada masa ini memandangkan anak tetap menjadi keutamaan dalam hidupnya.
“Iya memang cakap saya terbuka. Tetapi bukanlah bermakna saya nak berkahwin sekarang juga. Saya masih ada anak yang sedang membesar di depan mata dan dia akan sentiasa menjadi keutamaan saya.
“Sebagai seorang ibu, tentulah saya akan cuba memberikan yang terbaik buat anak, apatah lagi Laana Haura adalah satu-satunya permata hati dan harta dunia akhirat yang saya ada,” katanya.
Tidak campur hal bekas suami
Mencuba melayangkan pertanyaan sama ada dia masih berkomunikasi dengan bekas suaminya, Lufya lekas-lekas menidakkan.
Tidak mahu memanjangkan cerita lantaran mempunyai sebab tersendiri, wanita ini mengaku enggan mencampuri urusan lelaki bernama Che Muhammad Hafiz Che Baharum biarpun tahu mereka berdua pernah mempunyai kisah cinta dan berkongsi hidup bersama.
“Saya ini, orangnya jujur. Jadi, kalau orang datang bertanya pada saya untuk komen mengenai dia atau sebagainya, sebaik-baiknya tidak perlu untuk saya jawab.
“Cukuplah untuk saya beritahu, yang saya bahagia bersama dengan Laana. Saya yang jaga anak dan tetap akan menjaganya sehingga bila-bila pun.
“Sekarang ini, saya cuma nak cukupkan masa depan saya dan anak,” katanya.
Langsung meneruskan perbualan mengenai si kecil berusia lima tahun itu, kata Lufya, semakin membesar, anak tunggalnya itu semakin menunjukkan ciri-ciri seperti dirinya, sukakan sesuatu bersifat kesenian.
Kata Lufya, di matanya, Laana meski masih kecil, sudah pandai ada keinginan dan kesukaan sendiri contohnya suka bergaya dan sebagainya.
“Contohnya, macam nak pakai baju,dia yang akan pilih sendiri dan tentukan. Kemudian, sudah pandai bergaya depan kamera dan sebagainya.
“Saya perhatikan, butir kata-katanya juga ada seni. Contohnya, dia memuji saya tempoh hari. Katanya ‘Mummy, mata mummy cantik macam bulan’. Untuk seorang anak kecil berkata demikian, saya rasa, ia sangat mengagumkan dan ternyata dia ini berseni,” katanya.
Enggan halang anak
Ditanya sama ada dia mungkin akan membenarkan Laana menceburi bidang seni suatu hari nanti, Lufya tidak menolak, seakan sudah nampak kecenderungan si kecil itu ke arah bidang tersebut.
Bagaimanapun, sebagai seorang ibu, dia tidak mahu menjadi seseorang yang akan menghalang minat dan kecenderungan puteri kesayangannya itu andai ia menjurus kepada arah yang positif.
“Kalau ditakdirkan dia akan menjadi selebriti atau artis suatu hari nanti, saya akan sokong. Sebenarnya, sebagai ibu, saya akan sokong sahaja mana-mana yang baik dan positif.
“Saya faham perasaan bagaimana diri menjadi bak pemberontak sebab dulu, saya begitu. Dulu, keluarga pun tak suka saya menceburi bidang seni sehinggalah saya membuktikan yang itu memang minat diri.
“Jadi, saya tak mahu Laana disekat. Cuma, saya akan pastinya, pelajaran tetap diutamakan dan buat dengan cara yang betul,saya akan izinkan. Saya nak dia seimbang, beauty with brain orang kata,” katanya.
Mahu kembali aktif Dalam dunia seni
Dalam pada itu, Lufya turut memasang hasrat kembali aktif dalam dunia seni setelah agak lama meninggalkan minatnya yang satu ini.
Sejak berkahwin dan kemudian berpisah, Lufya tidak menafikan fokusnya terarah pada keluarga dan anak selain mengisi masa mencari sumber pendapatan menerusi perniagaan kek yang diusahakannya sebelum ini.
Di sela waktu, jelasnya dia terpaksa meninggalkan cintanya dalam bidang seni buat sementara namun tidak pula terus meletakkan noktah.
“Ini antara azam baru saya untuk tahun baru ini. Kalau ditanya, dari dahulu lagi memang minat saya adalah dalam bidang nyanyian. Jadi saya harap tahun ini adalah tahun saya untuk kembali aktif dalam seni.
“Sebenarnya, ada banyak benda yang tercicir dan masih belum diraih, tak dapat nak dicapai dengan baik. Melihat tumbesaran anak yang kini pun sudah mula masuk sekolah, saya baru ada rasa keyakinan sedikit untuk buat apa yang saya nak mulakan semula,” katanya.
Menurut bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini, dia juga sudah mula mendapat tawaran berlakon namun masih belum memberi kata putus selain dalam proses perbincangan.
“Ada tawaran episod panjang yang hadir pada saya. Cuma saya minta beri sedikit masa untuk persediaan kerana saya mahu menguruskan sikit berat badan.
“Ada sasaran lagu belum saya capai. Sekarang sudah turun 11 kilogram daripada 85 kilogram. Tapi saya nak turunkan lagi berat badan kepada sekurang-kurangnya 7 kilogram lagi,” katanya yang mengaku menjalani pembedahan bariatrik di sebuah pusat perubatan swasta sebulan yang lalu.