PETALING JAYA: Penyanyi Aishah, mendedahkan menerima banyak pesanan di Instagram (IG) berhubung kenyataannya mengenai ‘isteri yang membeli beras…’ yang dimuat naik sebelum ini.
Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu memaklumkan perkara itu pada entri yang sama selepas ramai netizen menzahirkan rasa kurang senang atas coretannya tersebut.
Menurut penyanyi berusia 57 tahun itu, dia tidak berniat untuk membuka aib mana-mana pihak tetapi ia adalah realiti yang terjadi berdasarkan pengalaman sendiri dan berlaku kepada wanita lain.
“Adoi, marah betul segelintir orang bila saya menceritakan pengalaman sebagai ‘isteri yang beli beras’. Tenang, saya sebut kerana itu betul-betul terjadi, dan bagi saya ia tidak aib apa pun.
“Itu realiti, pengalaman saya dan percaya ia realiti ramai juga kaum wanita lain. Hari yang saya menerima hadiah dari anak-anak, saya sangat teruja. Bukan sahaja kerana pemberian itu tetapi yang paling utama Allah.
“Tarbiah saya secara terus. Kenapa? Kerana Allah mengajar saya apabila kita membuat baik dan lebih dari tanggungjawab, Allah akan membalas dengan pelbagai cara serta melalui orang lain,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Aishah juga meminta segelintir pengguna IG agar berhenti menghantar pesanan berbaur makian kepadanya berhubung isu berkenaan.
“Jadi tenang sahaja, tidak perlu nak bertubi-tubi mesej langsung (DM) nak maki hamun. Saya menulis dalam Instagram, tidak mencari wartawan untuk bercerita hal itu pun.
“Jika tidak suka, tidak perlu mengikut atau langkau sahaja cerita saya okey. Tidak pernah menyesal pun dengan pengalaman itu, dianggap sebagai amal jariah dan sedekah,” coretnya panjang.
Sebelum ini, dia memaklumkan tidak pernah dimanjakan dengan pemberian hadiah daripada orang tersayang sepanjang kehidupannya bergelar seorang isteri.
Malah, penyanyi itu juga menyatakan dia membeli beras untuk keluarga sebagai tanggungjawab sebagai seorang isteri.