KUALA LUMPUR: Sering dikritik gara-gara kurang fasih berbahasa Melayu, penyanyi meningkat naik, Yazmin Aziz kini lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Penyanyi berdarah kacukan Melayu dan Filipina ini berkata, dia berterima kasih kepada pengikut-pengikut media sosialnya yang sentiasa membantu memperbetulkan kesalahan yang dilakukannya ketika bertutur dalam bahasa tersebut.
“Sekarang saya sudah yakin. Ramai yang bagi motivasi. Pengikut saya di TikTok, mereka banyak membantu. Kalau ada kesilapan dalam penggunaan bahasa Melayu saya, mereka akan perbetulkan.
“Jadi, penting sebenarnya untuk kekal positif. Dahulu saya selalu gementar, takut dikecam jika melakukan kesilapan dalam berbahasa Melayu.
“Kini, saya bertambah yakin. Tidak mengapa kalau silap. Sebab ramai yang akan bantu saya perbaiki,” katanya.
Yazmin berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media program Big Stage yang diadakan baru-baru ini.
Bercakap soal kecaman di media sosial, pempengaruh media sosial yang terkenal dengan gelaran ‘bespren’ ini mengakui dirinya tidak dapat lari daripada kritikan netizen.
Namun bagi Yazmin, tidak ada keperluan untuk melatah kerana baginya mungkin niat netizen adalah baik.
“Saya tak boleh lari daripada mereka yang tidak menyukai saya. Jadi, ambil positif sahaja.
“Tentu ada yang akan bercakap buruk tentang saya. Lebih-lebih berkaitan penampilan saya yang tidak memakai tudung dan sebagainya. Tetapi saya jawab kritikan mereka dengan cara yang baik-baik sahaja.
“Itu hak mereka untuk menegur. Terima sahaja semua ini dengan positif. Mungkin niat mereka baik, mahu ‘bespren’ mereka ini berubah,” ujarnya.