Rawatan koronari tersumbat paling berkesan - Utusan Malaysia

Rawatan koronari tersumbat paling berkesan

Kebaikan melakukan EVH kerana ia akan memberikan hasil kosmetik yang lebih baik, kurang sakit, kurang komplikasi jangkitan atau luka dan pemulihan yang lebih cepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jantung memerlukan darah yang kaya dengan oksigen. Arteri membawa darah dari jantung dan menyebarkannya kepada seluruh tisu dan organ dalam badan.

Namun, kadang-kadang, arteri tersumbat dengan plak yang boleh terdiri daripada kolesterol, bahan berlemak dan lain-lain lagi.

Apabila arteri tersumbat dan bekalan darah berkurangan ke tahap yang kritikal, seseorang itu mungkin boleh mendapat serangan jantung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Bedah Kardiotorasik, Mahkota Medical Centre, Dr. Cheng Keng Peng berkata, penyakit arteri koronari adalah penyumbatan saluran darah yang membekalkan darah pada jantung.

“Penyumbatan yang terbentuk dari plak dan pengumpulan kolesterol yang menyempitkan arteri-arteri koronari. Penyempitan ini akan mengganggu bekalan darah ke jantung, justeru mengakibatkan penyakit jantung,” katanya.

DR. CHENG KENG PENG

Beliau berkata, pesakit penyakit arteri koronari boleh menjalani pembedahan untuk memintas arteri koronari yang tersumbat bagi memulihkan aliran darah normal kepada otot jantung.

Katanya, pembedahan untuk penyakit arteri koronari juga dikenali pembedahan pintasan salur darah koronari (CABG) melibatkan pembuatan semula saluran baru untuk memintas sumbatan.

“Ia terbukti amat berkesan kerana ia membolehkan pesakit hidup lebih lama dengan kualiti hidup yang lebih baik dan jangka hidup yang lebih lama.

“Rawatan ini dikira paling efektif berbanding rawatan yang lain, terutama untuk pesakit yang mengalami satu atau lebih penyumbatan,” katanya.

Prosedur ini menggunakan salur darah sihat yang dikeluarkan menggunakan pembedahan daripada bahagian badan yang lain, seperti vena kaki.

Pengambilan vena melalui endoskopi (EVH)

Apakah itu pengambilan vena melalui endoskopi (EVH)? Bagaimana ia berbeza daripada prosedur biasa untuk mengambil vena?

Jelas Dr. Kenny, pengambilan vena kaki konvensional untuk CABG memerlukan luka panjang dari pergelangan kaki hingga bahagian pertengahan paha.

“Pengambilan vena melalui EVH adalah satu teknik kurang invasif yang hanya memerlukan sayatan dua hingga tiga sentimeter untuk pengambilan vena kaki dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurut Dr. Kenny, semua pesakit yang ada menjalani prosedur CABG boleh menggunakan pengambilan vena melalui endoskopi (EVH) sebagai sebahagian daripada prosedur.

Katanya, semua pesakit boleh menjalani EVH sekiranya saiz vena adalah normal. Batasan untuk teknik kurang invasif ini adalah ia memerlukan peralatan khas dan doktor yang dilengkapi dengan kemahiran untuk melaksanakannya.

Tambahnya, ada kebaikan melakukan EVH kerana ia akan memberikan hasil kosmetik yang lebih baik, kurang sakit, kurang komplikasi jangkitan atau luka dan pemulihan yang lebih cepat.

“Prosedur in boleh mengurangkan kunjungan ke hospital untuk rawatan susulan luka pembedahan dan ini boleh mengurangkan kos perubatan,” katanya.

Tidak sedar gejala yang dialami

Dr. Kenny memberitahu, penyakit arteri koronari adalah penyumbatan saluran darah yang membekalkan darah kepada jantung. Penyakit arteri koronari boleh hadir dalam spektrum tanda dan gejala.

Katanya, pesakit mungkin tidak akan sedar akan gejala-gejala tersebut dan meneruskan rutin harian mereka. Dalam spektrum lain, pesakit-pesakit ini akan tiba-tiba pengsan dan meninggal dunia.

“Pesakit di antara dua ekstrem ini boleh mengalami gejala seperti sakit dada, sesak nafas dan sering keletihan. Sakit dada dan kegelisahan merupakan gejala penyakit arteri koronari yang paling biasa,” jelas beliau.

Katanya, risiko yang paling biasa untuk gejala penyakit arteri koronari adalah penyakit seperti diabetes, hiperkolesterolemia dan hipertensi.

Penyakit arteri koronari boleh juga dipercepatkan dengan tabiat merokok dan peningkatan usia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya