Muzik darah daging saya – Man Kidal - Utusan Malaysia

Muzik darah daging saya – Man Kidal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Man Kidal bukan satu nama kecil. Dia seorang legenda yang akan kekal selamanya dalam sejarah seni negara. Mengapa Man Kidal? Anda tahu sendiri. Kehebatannya ‘menggoreng’ gitar dengan tangan kiri. Dan tahukah anda, dengan gigi pun pernah!

Legenda ini memulakan langkah dengan menyertai kumpulan Lefthanded sekitar tahun 1979. Usianya masih muda namun bakatnya ketika itu tidak dapat disangkal. Dia mula bermain gitar sekitar usia 10 tahun.

Julai lalu kita diberitakan tentang pemuzik disegani ini yang dijangkiti wabak Covid-19.

Peminat dan rakan artis meluahkan simpati. Risau mengenangkan kesihatannya yang merosot gara-gara wabak berkenaan.

Saya terpanggil untuk menulis tentang legenda ini kali ini. Sebenarnya, banyak persoalan yang ingin saya ajukan.

Lebih-lebih tentang kesihatannya sekarang.

Saya hubungi Man atau Abdul Rahman Mahmood beberapa hari lalu. Dari suara sahaja saya menilai, dia belum pulih sepenuhnya. Meskipun usai beberapa bulan bebas jangkitan.

Ketahanan badan masih rendah. Stamina juga menurun. Itu diakui sendiri legenda ini. Katanya ‘long Covid’ itu benar-benar memberi kesan.

“Sekarang saya selalu ada di rumah. Badan masih terasa lemah. Tapi saya sihat, Alhamdulillah.

“Kesan long Covid ini memang terasa. Cepat letih dibuatnya. Tapi saya sudah lengkap vaksinasi dan amalkan pengambilan vitamin. Alhamdulillah,” katanya.

Gitaris legenda ini dalam pada itu memberitahu dia masih aktif membuat persembahan.

Namun katanya keadaan badan yang sedikit lemah mengehadkan kemampuannya untuk terus beraksi di atas pentas.

“Saya masih lagi membuat persembahan. Cuma tak seperti dahulu. Stamina dah kurang.

“Pernah juga rasa tak berdaya kerana terpaksa bermain (gitar) dalam tempoh yang agak lama.

“Tetapi Alhamdulillah, saya rasa semakin okay. Insya-Allah, doakan saya kembali sihat sepenuhnya seperti dahulu,” ujarnya.

Dalam kerancakan bercerita, pemuzik disegani ini tidak lupa menyelit ingatan untuk rakan-rakan dan peminat yang bertanya khabar dan membantu ketika dia diserang wabak tersebut.

“Saya ingin berterima kasih. Memang Allah SWT tunjukkan. Rakan dan peminat yang baik, yang hadir membantu saya ketika itu.

“Saya amat menghargai jasa mereka, ketika keadaan saya dijangkiti wabak. Saya amat bersyukur,” katanya lagi.

TAHUN YANG MENDUGA
Kita sudah melangkah ke di tahun baharu. Tentunya 2021 meninggalkan seribu kenangan yang tidak kita lupakan.

Saya minta bapa tiga orang anak ini lontar pandangannya tentang 2021. Susah payah ketika dunia dilanda wabak yang tak berkesudahan.

“Tahun yang mencabar. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang hilang pendapatan. Begitu juga saya, kosong.

“Persembahan semua ditunda. Tak dapat nak berbuat apa-apa. Memang menduga.

“Sekarang dah semakin baik. Industri hidup semula. Jadi saya bersyukur, kita masih diberi peluang,” jelasnya.

SENTIASA BELAJAR
Soalan saya, pernah atau tidak dia berputus asa. Bukan apa, dunia seni ini gelombangnya berbeza.

Hanya yang benar-benar kuat semangatnya akan bertahan lama.

“Seni darah daging saya. Kehidupan. Bangun tidur muzik.

“Dunia seni memang mencabar. Memang ada susah payahnya. Tapi kena lalui, dengan ikhlas.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menarik diri. Tidak sama sekali. Ini punca rezeki,” tegasnya.

Tetapi Man mengakui anak seni perlu sentiasa belajar. Legenda atau baru, sama sahaja. Ilmu dituntut sampai bila-bila.

“Yang baru belajarlah daripada yang lama. Tak ada lama, tak ada baru. Ceduk pengalaman mereka.

“Yang lama juga kena adaptasi dunia baharu. Tuntutan era kini yang semakin berteknologi. Jangan terlalu selesa. Kita mahu maju ke depan,” ujarnya.

Saya bertanya lagi, adakah dia melihat kehadiran penggantinya dalam industri.

Dia menjawab, bakat baharu ramai. Yang bagus-bagus bukan satu dua. Tapi beri mereka peluang.

“Beri mereka peluang. Bakat baharu banyak yang bagus. Pelapis memang ramai,” katanya.

MULUT ORANG TAK BOLEH TUTUP
Saya pernah terbaca komen netizen yang merendah-rendahkan kemampuan seorang Man Kidal. Saya kurang pasti punca apa. Tetapi agak pahit untuk dibaca.

Pemuzik ternama ini berkata, dia sudah biasa. Kecaman, kritikan itu lumrah baginya.

“Cuma beza dunia sekarang ada media sosial. Kita baca, kita merana.

“Saya tak ambil pusing sangat. Tapi saya baca. Yang baik dan membina itu saya hargai. Yang menjatuhkan saya tolak tepi.

“Kadang bila baca sakit hati juga. Bahasa digunakan netizen ini kasarnya bukan main. Tetapi biasa, tak kena kecam bukan artis namanya,” terangnya.

Kata Man, kecaman tidak membuat langkahnya terhenti. Malah dia akan terus berada dalam industri sepanjang hayatnya.

“Saya akan terus di sini. Menghiburkan. Sebagai gitaris, saya kena terus perbaiki.

“Kalau tinggalkan sekejap, kemahiran itu menjadi tumpul. Memang tak boleh biarkan. Kena teruskan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya