Hubungan akrab Malaysia dan Azerbaijan dapat dilihat dalam pelbagai bentuk kerjasama baik dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.
Meskipun begitu, dari sudut pelancongan dan komunikasi antara rakyat kedua-dua negara ini boleh dikatakan masih kurang.
Dalam usaha mempertingkatkan hubungan dua negara, Kedutaan Besar Azerbaijan di Kuala Lumpur baru-baru ini menerbitkan buku mewarna untuk kanak-kanak – Coloring and Exploring Azerbaijan.
Ia bertujuan memperkenalkan negara Kaukasus itu kepada warga tempatan terutamanya anak muda seawal peringkat sekolah rendah.
Menariknya mengenai buku ini kerana ia bukan sahaja dapat menggembirakan kanak-kanak untuk mengisi lapang mereka, bahkan dapat mengetahui mengenai dunia luar.
Ibu bapa dan guru di sekolah juga dapat menggunakan buku mewarna ini sebagai panduan mendidik kanak-kanak tentang isu antarabanga dengan cara yang kreatif, sekaligus merangsang minat si cilik menerokai bumi Azerbaijan.
Naskhah ini mengandungi 10 ilustrasi dan setiap lukisan turut dilampirkan penerangan ringkas. Antaranya Menara Api yang dibina di Baku, ibu kota Azerbaijan.
Tidak ketinggalan dipaparkan ialah Istana Shusha di bandar Shusha, yang turut dikenali sebagai pusat kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18.
Kanak-kanak turut didedahkan dengan haiwan iaitu Kuda Karabakh, simbolik kepada kegagahan. Kuda Karabakh ialah salah satu baka kuda Azerbaijan tangkas, berupaya mengatasi kawasan pergunungan dan terkenal dengan pergerakan pantas, tenang serta mesra.
Sementara itu, Fatma Jelita atau dalam bahasa Azerbaijan, Goyck Fatma merupakan antara ilustrasi kegemaran kanak-kanak. Gadis muda yang cantik dan baik ini adalah salah satu watak utama dalam cerita dongeng Azerbaijan yang turut dirujuk sebagai Cinderella versi Azerbaijan.
Buku bersaiz A5 ini ringan dan boleh dibawa ke mana sahaja. Walau bagaimanapun, buku ini bukan untuk dijual.
Kedutaan Azerbaijan memfokuskan pemberian ke sekolah-sekolah dan program-program tertentu.
Pegawai Hal Ehwal Sosial-Kemanusiaan Kedutaan Azerbaijan, Sabina Yolchuyeva berkata, pada masa kini, alat seni visual merupakan bahagian yang sangat penting dalam pendidikan.
Buku mewarna antaranya yang memainkan peranan cemerlang dalam pembangunan keupayaan seni kanak-kanak.

“Kedutaan kami menyokong projek sebegini untuk menyumbang dalam pendidikan dan memberi kegembiraan kepada kanak-kanak Malaysia dan rakan-rakan dari komuniti Azerbaijan melalui seni,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Kedutaan Azerbaijan katanya turut merancang mengedarkan buku mewarna ini ke Thailand dan Brunei.
Ikuti perkembangan aktiviti bermanfaat Azerbaijan di Malaysia di akaun rasmi Facebook kedutaan ini di Embassy of the Republic of Azerbaijan to Malaysia.