JARANG kita nak dengar kugiran tempatan buat jelajah, terutamanya dalam situasi pandemik ini. Sebelum ini ada beberapa nama yang berbuat demikian, seperti Jemson yang menjelajah tiga negeri dalam seminggu serta Des Panik! yang lebih panjang tempoh jelajahnya.
Namun, apa yang ingin dilakukan Pasca Sini dan A. Limin lebih mencabar. Dalam tempoh sembilan hari, mereka menjelajah ke tujuh lokasi di sepanjang Malaysia Barat.
Bermula pada Jumaat lalu sehingga 5 Februari ini, Malaysia Barat Tour 2022 ialah jelajah khas yang diadakan bagi meraikan album kedua-dua kugiran tersebut, iaitu Emo Department (Pasca Sini) dan Sesudah Melakar Langit (A. Limin).
Budaya yang dilupakan
Selain menghidupkan tujuh lokasi dengan acara, jelajah ini turut menampilkan 13 artis jemputan. Setiap lokasi menampilkan dua artis dan Motherwit menjadi satu-satunya kugiran yang akan tampil di dua lokasi.
Gitaris Motherwit, Noh Zulazfar berpendapat, jelajah merupakan budaya yang dilupakan di Malaysia. Melihat kepada situasi muzik arus perdana yang kebanyakan artis sudah tidak lagi menghasilkan album, ia turut menyebabkan terhakisnya budaya jelajah.
“Jelajah ialah nadi untuk muzik langsung. Sepatutnya, jelajah merupakan sumber kewangan utama untuk artis sebab mereka boleh jual album, cenderamata dan dapat hasil daripada kutipan tiket,” kata Noh.
“Ada tiga sumber kewangan besar untuk kugiran: jelajah, album dan cenderamata,” jelas Boy pula, yang merupakan penyelaras untuk jelajah tersebut.
Menyedari peluang itu, A. Limin mengambil kesempatan untuk mengeluarkan koleksi cenderamata untuk dijual sepanjang jelajah. Perkara itu, menurut Limin, merupakan pengalaman pertama mereka ‘berdagang’ sebagai kugiran.
“Waktu album pertama, kami lancar album kemudian pandemik. Tak sempat nak buat apa. Kali ini kami ambil peluang untuk ikut jelajah dan dalam masa sama, jual cenderamata dan album,” katanya.
Dana sendiri
Mengimbas pendedahan awalnya kepada muzik, Anwar dan Boy bercerita tentang persembahan pertama yang mereka tonton, pada 2007 atau 2008 di Alor Setar. Ia merupakan acara jelajah yang menampilkan Hujan dan Meet Uncle Hussein.
“Kami ingat lagi, penaja jelajah itu ialah syarikat telekomunikasi. Walaupun ada jelajah dahulu, tapi ada yang bergantung dengan tajaan korporat.
“Berbeza dengan jelajah ini, semuanya didanai kami sendiri,” kata Anwar. Mengulas hal tersebut, Boy menjelaskan: “Bayangkan anda anjur satu acara, tapi dari A hingga Z diuruskan sendiri, guna duit sendiri. Buat pula di banyak tempat.”
Mereka bersyukur kerana mendapat sokongan daripada komuniti muzik independen di setiap negeri yang disinggahi. Menurut Boy, mereka mendapat banyak bantuan dan nasihat berkenaan harga tiket serta pemilihan artis jemputan.
Vokalis dan gitaris A. Limin, Merul pula berpendapat, jelajah tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menghidupkan ruang acara di negeri-negeri di luar Lembah Klang.
“Jelajah ini boleh beri semangat untuk kugiran jemputan terus berkarya, kita berkongsi peminat,” katanya.
Umur panjang budaya jelajah
Malaysia Barat Tour 2022 secara tidak langsung membuka jalan untuk jelajah seumpamanya dilaksanakan lagi selepas ini. Mungkin ia tidak dilakukan selama ini kerana kugiran fikir, ia mustahil dalam situasi semasa.
Apa yang Pasca Sini dan A. Limin tonjolkan adalah kemungkinannya. Ia boleh dilakukan. Malah, konsep jelajah terus dalam tempoh pendek sebegini lebih cekap dari segi kos dan persediaannya juga boleh dibuat dengan lebih cepat.
Realitinya, penyokong muzik independen berada di seluruh negara. Mereka sentiasa menantikan kugiran kegemaran hadir ke bandar terdekat supaya tidak perlulah mereka keluar kos yang lebih tinggi untuk ke Lembah Klang.
Permintaannya ada, jalannya ada, maka teruskanlah menghidupkan budaya jelajah. Pasca Sini, A. Limin dan Motherwit juga percaya, ia boleh dilakukan dan jika jelajah ini tidak disambut dengan penganjuran jelajah lain, ia satu kerugian.