Hikmah angka dua, Nusarasa - Utusan Malaysia

Hikmah angka dua, Nusarasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUSARASA punya hubungan istimewa dengan angka dua. Nama mereka merupakan gabungan dari dua kata, nusa dan rasa. Mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam dua edisi Anugerah Lagu Indie (ALI), 2020 dan 2021.

Jika anda semak akaun Spotify mereka, hanya ada dua lagu iaitu Mesra dan Jauh. Melihat akaun Youtube mereka juga, hanya ada dua isi iaitu video lirik Mesra dan video muzik Jauh. Dalam kedua-dua video itu juga, mereka hanya menggunakan dua pelakon.

Semuanya kebetulan dan pastilah akan berubah tidak lama lagi apabila mereka melancarkan lagu-lagu lain. Namun, saya sangat tertarik dengan hubungan ini.

Ini juga kali kedua mereka ditampilkan dalam Rondivu. Kedua-dua artikel adalah tentang kejayaan mereka dalam ALI.

Masa hadapan
Kita sudah mengimbas kisah pembentukan dan latar belakang kugiran ini dalam artikel pertama. Untuk artikel ini, saya mahu meneroka masa hadapan mereka.

Cerita Nusarasa bergerak perlahan. Dengan dua lagu, bukan sahaja peminat, malah mereka sendiri belum dapat menentukan hala tuju dan identiti. Namun, yang sukar dinafikan ramai orang, mereka punya kualiti sebagai sebuah unit muzik.

Perancangannya sudah ada tetapi pelaksanaannya mungkin berliku dan mengambil masa. Setakat yang saya tahu, mereka sudah punya koleksi lagu yang banyak namun belum sempat diselesaikan rakamannya.

“Untuk dapat kenal pasti identiti itu, mungkin kami perlu siapkan koleksi, mungkin 10 lagu, baru boleh nilai di mana kami, apa karakter kami,” jelas Ayob (keyboard) yang menjadi komposer utama Nusarasa.

Karakter berbeza
Kita belum boleh mengenali Nusarasa walaupun berjaya hafal kedua-dua lagu mereka. Mungkin karakternya boleh ditebak: mereka kugiran yang bercerita tentang hubungan sesama manusia dan gemar menyorot emosi dengan mendalam. Namun, lagu-lagu mereka yang seterusnya akan buat kita rasa tertipu.

“Kalau ikutkan lagu yang berikutnya, ia tidak akan sama dengan Jauh dan Mesra,” kata Eja (dram).

Saya percaya bahawa produk sebuah kugiran terhasil daripada campuran kimia anggotanya. Untuk Nusarasa, ia lebih rumit kerana setiap anggotanya mempunyai pengalaman luas sebagai pemuzik latar yang telah bermain pelbagai genre.

Ia menyebabkan proses penentuan identiti kugiran menjadi lebih panjang. Nusarasa juga mengakui, mereka tidak mengambil mana-mana kugiran lain sebagai rujukan sebaliknya mencorak perjalanan mereka mengikut karakter setiap anggota dan lagu-lagu yang dihasilkan.

Hal ini ada kebaikan dan keburukannya sendiri. Dengan konsep nirgenre (genreless), mereka menebar jala tanpa sasaran khusus, membolehkan mereka menarik perhatian mana-mana kumpulan peminat muzik. Namun, tebaran itu juga membuatkan mereka sukar mendapat kelompok pendengar setia yang biasanya meneroka muzik berdasarkan genre.

Lebih aktif
Ayob, Eja, Amai (bass), Fidi (vokal) dan Khazrin (gitar) punya kualiti yang lengkap sebagai sebuah kugiran komersial. Mereka ada cita rasa muzik yang tinggi dan kesemuanya boleh menyampaikan cita rasa itu dengan baik. Namun, kualiti sahaja tidak cukup untuk menjamin usia sebuah kugiran dalam industri.

Ayob mengakui, Nusarasa belum cukup aktif untuk lebih dikenali. Mereka belum mendapat jemputan persembahan dan usaha promosi karya juga bergantung kepada pertandingan seperti ALI.

Mudah kata, untuk lebih berjaya, mereka perlu lebihkan usaha. Mungkin pelancaran EP atau album akan membantu, selain aktif membuat persembahan. Harapan mereka, akan ada penganjur acara yang berminat memanggil, sekali gus menjadi penganjur pertama yang menampilkan mereka dalam mana-mana gig atau konsert.

Jalan lain yang boleh diambil ialah mempromosikan lagu-lagu mereka menjadi runut bunyi dalam drama atau filem, selain mengatur gerak hebahan yang lebih tersusun dan konsisten.

Saya melihat kugiran seperti Nusarasa mempunyai potensi untuk meninggikan standard muzik tempatan atas alasan yang terlalu panjang untuk diceritakan di sini. Cuma usaha dan sambutan perlu seiring. Mereka berusaha menonjolkan diri dan pendengar menyambut usaha itu dengan sokongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya