BARANGKALI terlalu awal untuk Nadia Aqilah mengaku kalah dan berundur daripada industri seni.
Apa lagi setelah hampir 15 tahun, keberadaannya dalam dunia seni hiburan itu bukan satu tempoh yang sekejap cuma. Jadi, apabila kononnya timbul kisah pelakon ini mahu berhenti daripada dunia lakonan, sepertinya seakan ada yang tidak kena .
Lalu, dalam kesempatan berbual dengannya menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Pancaindera mendapatkan penjelasannya.
Ada apa agaknya yang berlaku sehingga Nadia ada menyebut mahu berhenti? Agak tiba-tiba juga bukan?
Tak dinafikan, adalah juga saya sebut begitu. Biasalah, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya rasa semua orang barangkali melalui keadaan yang sama. Macam kita rasa ketidakpastian.
Terutamanya bagi orang dalam industri kreatif ini. Adakala kita rasa nak berhijrah ke cabang lain, cari pengalaman baru. Mungkin ia sekadar fikiran rambang. Bila terfikirkan hal itu, tiba-tiba saya dapat pula tawaran untuk berlakon dalam Dukun Diva.
Adakah masih berhajat untuk meneruskan hasrat itu? Manalah tahu wujud pula rasa begitu kerana merasakan diri tak dihargai sebagai anak seni.
Macam saya kata, ia cuma lintasan perasaan. Saya tak akan beri kenyataan yang kemudiannya akan menembak saya kembali.
Tetapi, apa yang boleh saya katakan, kadangkala adalah terdetik di hati, soalan macam adakah masih ada tempat untuk saya? Adakah ada tempat untuk seorang wanita berusia 30-an macam saya untuk bawa watak wanita yang kuat?
Atau kehadiran saya ini sekadar lalu sahaja. Kalau benar begitu, jadi apalah gunanya?Tetapi dalam keadaan itu berlaku, rezeki buat saya datang dan dapat pula membawakan watak Cik Yah dalam drama Dukun Diva itu.
Saya tak nak bawa watak yang klise kalau boleh. Sebab saya seorang ibu sekarang. Kalau boleh saya naklah buat kerja yang boleh meninggalkan kesan, maksud. Bukan main-main.
Adakah Nadia pernah juga berperang dengan diri sendiri, sering tertanya apa agaknya tujuan berada dalam industri? Memanglah berlakon, tetapi mesti ada sesuatu yang ingin Nadia buat yang memberi makna?
Tentu! Saya berada di sini untuk bercerita melalui naskah yang saya dapat dan watak yang dibawa. Saya nak memberikan inspirasi buat semua orang.
Seiring dengan masa, saya tentunya mahu meninggalkan kesan yang bagus. Tak nak generasi selepas ini bersusah-payah macam apa yang generasi saya dan sebelum ini lalui dalam industri. Ia bukan satu tanggungjawab yang ringan tahu. Ia berat.
Adakah ini bermakna, Nadia rasa apa yang dah dilakukan sebelum ini, belum cukup memberikan impak? Sedangkan macam-macam sudah dibuat?
Saya rasa setiap anak seni mempunyai perasaan ‘overthinking’. Akan fikir adakah kita telah meninggalkan sesuatu dalam industri? Perlahan-lahan bila kita persoalkan, kita juga akan dapat jawapan. Bila kita jumpa pengarah, rakan industri.. Sekarang bila saya dah kembali aktif, rasa lebih signifikan.
Mungkin juga pandangan saya sudah semakin berbeza sekarang. Saya lebih hargai diri sendiri. Maksudnya, orang yang panggil saya berlakon, mereka tahu apa kebolehan dan kredibiliti saya.
Apa agaknya formula kejayaan sebagai seorang pelakon bagi Nadia?
Mungkin akan mengambil sedikit masa untuk orang fahami atau terima anak seni kategori macam saya ini. Saya sendiri rasa diri lain sikit berbanding orang lain. Kalau artis atau selebriti lain fikirkan jumlah pengikut di media sosial, saya berbeza.
Tapi masih sahaja hormati cara dan pendirian masing-masing. Bagi saya, sukses itu adalah dengan siapa saya bekerja, naskah apa yang telah dibuat, watak apa, kolaborasi dengan siapa. Setiap orang punya pemahaman tentang sukses itu tak sama.
Saya juga semakin menerima diri sendiri, sudah tak bandingkan diri dengan orang lain. Saya suka dengan kerja ini walaupun adakala balik penat, lewat sehingga tiga empat pagi. Tapi rasa seronok. Dan… tak sangka jugalah masih ada orang ingat saya.
Sebagai pelakon, Nadia setuju tak jika seseorang pelakon yang berkualiti dan ada sesuatu untuk diberikan kepada industri, dia seharusnya dapat bayaran setimpal?
Kenalah! Tapi benda itu lamalah kena buktikan. Seseorang pelakon itu harus buat naskah yang buat orang kenal dan tahu dia memang layak dengan kadar bayaran yang tinggi.
Selalu juga lepasan graduan bidang seni tanya pada saya macam mana nak letak kadar bayaran? Malang sekali, awak memang kena buktikannya pada tempoh masa yang sangat lama.
Kena kuat, kecuali dia tukar cara lain. Semua bidang pun tak ada yang sebegitu mudah. Tentu ada cabarannya.