Belajar dulu peraturan, baru boleh ‘langgar’ - Danial Zaini - Utusan Malaysia

Belajar dulu peraturan, baru boleh ‘langgar’ – Danial Zaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING membawakan lawak dalam terma impersonifikasi, pelawak dan penyampai radio, Danial Zaini sebenarnya tidak dapat mengelak bahawa terdapat pandangan yang menganggap kononnya, lawak cara itu tidak mampu pergi jauh.

Walhal, jika benar ia tidak mampu pergi jauh, Danial sendiri sudah membuktikan yang ‘identitinya’ di pentas komedi itu telah banyak kali melayakkan dirinya untuk bergelar juara di beberapa pertandingan lawak yang disertai sebelum ini.

Namun, entah mengapa ada juga yang tidak berpuas hati dengan gaya persembahan lelaki berusia 29 tahun ini di kala sepatutnya semua pihak harus menyokong perkembangan industri lawak komedi tempatan.

Kepada Danial, Pancaindera layangkan beberapa pertanyaan tentang telatah impersonifikasi yang mungkin tidak ramai boleh bawa, fahami atau menerimanya dengan minda terbuka.

Lawak impersonifikasi memberi kelebihan pada Danial, tapi pernah terfikir suatu hari nanti mungkin awak akan ketandusan idea?
Ramai sebenarnya yang buat lawak impersonafikasi di Malaysia, bukan arwah Jamali Shadat saja. Ada lagi seperti Yusof Chong. Tapi ia tidak meluas macam saya buat dan mungkin peluang tak sama. Sejak 2016 orang tanya saya kenapa asyik tiru suara? Tak ke manalah. Saya tetap perjuangkan cara ini sebab memang ramai orang lain yang boleh tiru suara, boleh ajuk karakter, tapi tak ramai boleh ajuk karakter dalam skala 20 hingga 40 suara misalnya. Saya pula jenis yang sentiasa berikan benda baru, watak baru. Jadi, tak ada istilah ketandusan idea.

Adakah Danial pernah rasa ini ‘tanggungjawab’ berat sebab orang mungkin suka, tapi awak sendiri berperang dengan jiwa nak hasilkan yang terbaik?
Pernah. Pada 2017, saya masuk Maharaja Lawak Mega (MLM) dan tersingkir. Masa itu, juri pun cakap jangan buat lawak impersonifikasi sampai saya rasa dah tak nak buat lawak dah. Tahun 2018, masuk pula Muzikal Lawak Superstar (MLS) terus tak buat lawak impersonafikasi. Tapi, tercari-cari pula identiti. Nak jadi komedian yang bagaimana dan nampak lain daripada pelawak lain? Sampailah tahun 2020, masuk pula MLS musim kedua dan ramai suruh saya buat lawak asal, tiru suara sebab itu adalah X Factor saya. Kalau ikutkan, memang tak suka pun nak ikut cara orang sebab kalau boleh nak tengok pementasan komedi di negara ini ada variasi, tak slapstik.Alhamdulillah, semakin ramai yang boleh terima. Di sini saya nak beritahu, tanyalah mana-mana pelawak, di negara inilah yang paling susah nak buat lawak sebab kita ada macam-macam kekangan.

Maksud awak hal-hal sensitif tak boleh disentuh?
Kita tak boleh sentuh pasal isu seksual, agama, bangsa, dan apa-apa yang sensitif. Ini, akhirnya akan membuatkan kita kehilangan penonton sebab banyak kekangan.

Adakah sebab itu juga pelawak kita tak berani meneroka lebih dalam berlawak?
Betul. Sebenarnya, mungkin penonton tak faham sebab mereka tak pernah tahu mengenai peraturan dalam industri, ada garis panduan yang perlu kami ikut. Di TV lain, di luar lain, dalam media sosial pula kita boleh bantai apa saja. Sebab itu, lawak solo di negara ini tak boleh sangat pergi ke arus perdana. Sebab, kebanyakan lawak solo menyentuh isu-isu sensitif. Kalau tengok nama-nama seperti Kumar, Fakkah Fuzz, Kevin Hart, Frank Caliendo, mereka sangat popular di luar negara. Kenapa? Negara luar sangat terbuka dengan komedi. Itu yang sedang saya cuba ubah di pentas komedi Malaysia. Cuba ajuk menteri-menteri. Tapi apa yang dipentaskan adalah komedi semata dan tak sentuh sensitiviti. Saya masih ikut peraturan ditetapkan.

Rasanya Danial tak pernah sebut nama karektor. Betul tak?
Saya cuma akan bawa karakter mereka, tetapi biarkan penonton meneka. Contoh, karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak, mereka sendiri pun boleh terima dan faham yang dibawakan itu cuma komedi. Tapi di Malaysia ini, keterbukaan penerimaan itu tak sama macam orang luar. Di negara luar, mereka boleh sentuh macam-macam isu dan faham itu komedi semata. Contoh, Russell Peters. Kalau lawak solo macam dia itu di sini, memang pasti dirinya dibenci. Fahamilah, pelawak-pelawak di Malaysia ini bukan tak nak buat lawak lain, tapi kami tak boleh buat benda lain. Tak boleh sembang politik, sensitif. Banyak kekangan sampai kami pun sudah tak tahu nak buat apa. Setiap kali nak buat lawak masukkan unsur ceramah, di mana pula komedinya?

Ada juga berpandangan pelawak seharusnya dilihat sebagai medium pengkritik masyarakat. Setuju?
Kita tengoklah filem-filem di India misalnya. Mereka gunakan kritikan untuk mendidik masyarakat. Contoh, buat filem polis makan rasuah, jahat dan rakyat marah dan memberontak. Kemudian datang pula hero betulkan keadaan. Mereka wujudkan kesedaran itu, ambil nilai moral. Tapi, macam saya katakan, orang kita belum sampai ke tahap itu. Mungkin juga salah industri yang tak membenarkan kita mengkritik masyarakat. Kami tak boleh beri kritikan pedas, orang tak akan ambil ia sebagai satu nilai moral, tapi negatif.

Pernah berharap situasi ini berubah?
Benda ini tak boleh buat dalam masa setahun dua. Mungkin 10 atau 20 tahun juga nak tukar minda masyarakat kita agar menerima cara ini. Tentulah saya berharap agar ruang industri komedi ini dibuka lebih besar, kandungannya boleh setaraf dunia. Barulah boleh lihat komedi kita berkembang.

Ada terima amaran daripada pihak yang terasa dengan komedi impersonifikasi awak?
Tak pernah. Kalau nak tahu, watak-watak yang pernah saya impersonifikasikan, semuanya orang yang pernah saya berbual sama. Mereka pun gembira dan faham ia cuma komedi. Ini yang saya nak, agar orang kita faham, komedi adalah komedi. Senang beginilah, kalau nak langgar peraturan itu, kita sendiri yang kena belajar dan fahamkan peraturan itu dulu. Baru boleh ‘langgar’. Beri kami peluang untuk berkarya dan cambahkan cabang idea. Kalau tidak, kami akan selamanya cuma boleh buat lawak yang itu itu sahajalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya