Anisa cekal cari rezeki di Tiktok walau OKU - Utusan Malaysia

Anisa cekal cari rezeki di Tiktok walau OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dilahirkan dengan masalah penglihatan sejak kecil, wanita bernama Khairul Anissa Mat Samsuddin, 32, mahu membuktikan di sebalik kekurangan diri, dia tetap mahu berusaha mencari rezeki halal sebagaimana orang lain.

Mesra disapa Anisa, ibu kepada dua cahaya mata ini menzahirkan minatnya pada dunia perniagaan dengan aktif menjadi pengedar pelbagai jenama produk berasaskan rangkaian makanan kesihatan sehingga rejim kecantikan.

“Saya tak mahu berpeluk tubuh mengharapkan simpati dan belas kasihan. Saya nak buktikan biarpun tak nampak, insya-Allah dengan usaha berterusan pasti ada kejayaan menyusul.

“Namun lumrah di sebalik kekurangan diri itu saya juga terus diadili dengan pandangan skeptikal. Ada yang meragui kebolehan saya untuk menjual itu ini. Pernah satu tahap rasa nak menangis dan tinggalkan terus dunia berniaga.

“Tapi saya tak akan dapat apa pun jika terus menyerah dan mengeluh. Pilihan yang ada ialah untuk jadi kuat dan menepis ego dan rasa tak ‘best’. Saya fikir, jika tak cari rezeki, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Bercerita mengenai keadaan diri, kata Anisa, pada asalnya dia dilahirkan normal namun selepas 10 bulan, dia diserang kanser mata hingga menyebabkan dirinya kehilangan deria penglihatan.

Kecacatan diri bagaimanapun umpama membawa malang berterusan apabila dia turut dicemuh dan dihina oleh individu-individu yang tidak mempunyai belas ihsan.

“Saya sudahlah lahir serba kekurangan, kemudian ditekan pula dengan kata sinis. Tentunya, lagi pedih rasa hati ini. Ketahuilah, saya pun tak minta dilahirkan sebegini.

“Pernah ketika saya menjual produk makanan berasaskan coklat, ada yang komen kasar cakap saya ini sudahlah tak nampak, OKU (orang kurang upaya)… bersihkah dan terjaga ke kualiti makanan itu?

“Yang pernah meragui tahap halal makanan itu pun ada. Sedangkan terang-terang makanan itu berstatus halal,” katanya.

Menurut Anisa lagi, ujian juga tidak terhenti disitu. Selepas berkahwin dengan suaminya,  Muhamad Mazwan Shakir, hidupnya diduga lagi.

“Keputusan berkahwin saya anggap jodoh yang sudah tertulis. Seperti perkahwinan orang lain, fasa turun naik itu ada. Cabaran utama saya dan suami ketika itu ialah aspek kewangan. Nak besarkan anak lagi.

“Dari Selangor, kami selepas berkahwin berpindah ke Port Dickson. Suami ketika itu bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM350. Kami seterusnya berpindah ke KL.

“Masa itu saya dan suami mencari rezeki dengan cara persembahan jalanan atau ‘busking’. Ditakdirkan pandemik Covid-19 menyerang dunia. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, kerja ‘busking’ tak boleh diteruskan,”katanya.

Rentetan itu, Anisa mencuba menghantar penyertaan sebagai pengedar Nurraysa dan tanpa diduga ia telah membuka pintu rezeki.

“Saya dapat tahu iklan Nurraysa mengajak ramai menjadi pengedar. Tetapi ia berlalu begitu saja. Saya pun tak pernah didedahkan dengan jenama itu.Dipendekkan cerita, teman saya mengajak menjadi pengedar jenama itu.

“Saya mencuba nasib berjinak-jinak dengan aplikasi Tiktok untuk menjual. Saya buat saja tanpa pedulikan orang nak kata apa. Tapi tak sangka pula, saya jadi perhatian di aplikasi itu hingga ramai yang nak membeli dan menyokong saya selepas menonton video pendek di Tiktok,”katanya.

Mengaku berasa malu apabila mengetahui namanya tular di aplikasi tersebut, Anisa cuma berharap ini jalan terbaik untuk dirinya mencari rezeki selain mungkin dapat memberi inspirasi pada ramai pihak di luar sana.

Untuk info, Nurraysa Global Sdn Bhd ditubuhkan sejak 2014 diterajui Nur Aini Zolkepeli.

Bermula dengan jualan sabun kolagen, kini jenama itu berkembang dengan penghasilan lebih 50 produk kosmetik, minuman, makanan tambahan, makanan dan pakaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya