KUALA LUMPUR: Penyanyi dan usahawan terkenal, Ifa Raziah mengesahkan anaknya, Muhammad Shakir Aqili Mohd Yani positif virus Covid-19.
Ifa memaklumkan anaknya itu menerima jangkitan di sekolah dan menunjukkan gejala sakit tekak setelah pulang ke rumah.
“Luluh hati Miss Diva sebagai seorang ibu apabila melihat Aqili kena virus Covid-19.
“Kami sekeluarga semuanya negatif setelah melakukan kit ujian pantas (RTK). Kecuali Aqili seorang sahaja yang positif.
“Sekarang Aqili diasingkan, duduk di dalam biliknya dan dipantau oleh kami sekeluarga,” tulisnya.
Ifa dalam pada itu memberitahu bahawa dia sekeluarga menjalani kuarantin bermula dua hari lepas.
“Kami sekeluarga kuarantin di rumah selama 14 hari,” tulisnya lagi.
Dalam perkembangan terkini, penyanyi yang popular dengan lagu Ser Ser Ser itu turut memaklumkan bahawa anaknya itu setakat ini hanya mengalami gejala biasa.
“Syukur Alhamdulillah, buat masa ini Aqili hanya batuk dan sakit tekak.
“Miss Diva mohon tolong doakan @aqili911 diberikan kesembuhan dari virus Covid-19,” tambahnya.