Dua tahun ini, kita melalui satu fasa kehidupan yang berbeza. Pastinya kita mengharapkan yang lebih baik untuk tahun 2022.
Membuka lembaran tahun baharu, Poklip sama seperti anda, mengimpikan yang indah sahaja.
Untuk hidup tanpa ketakutan dan kegusaran dek Covid-19 itu, mungkin masih terlalu jauh untuk menjadi satu realiti. Tetapi sekurangnya, kita sudah boleh bernafas seperti biasa. Walaupun ada halangan dan cabarannya.
Sedar atau tidak, kita sudah terbiasa dengan norma hidup yang mungkin tidak lagi boleh dilabel baharu. Normalisasi hidup yang sudah terbiasa.
Sekarang, jika lihat orang berjalan tanpa memakai pelitup muka, itu tidak normal. Kita sudah mula rasa tidak selamat. Begitulah kehidupan. Semuanya sudah menjadi satu kewajiban, walaupun dalam keterpaksaan.
Begitu juga dengan dunia artis. Setahun lebih kemeriahan itu kurang dirasai. Industri ibarat turut ’menyepi’ namun masih ada hiburan dan seninya. Mahu tidak mahu kita harus akui, kehidupan perlu diteruskan.
Perut masih banyak untuk diisi. Rezeki harus dicari, bukan dinanti. Maka, industri seni harus terus bernafas biarpun dikekang dengan pelbagai peraturan. Kita harus ikuti dan patuhi, kerana inilah lubuk rezeki jutaan manusia.
Tetapi tahun lepas juga, kita berbangga dengan kejayaan besar beberapa anak tempatan yang mengukir nama di peringkat lebih tinggi. Dolla, Iman Troye, Naim Daniel, Sharifah Rose dan Aina Abdul adalah antara yang bakal menyinar tahun depan.
Malah, artis-artis senior kita juga tidak kurang hebatnya. Kita dapat lihat kebangkitan semula beberapa nama besar seperti Datuk Fazley Yaakob yang mungkin sebelum ini sedikit menyepi daripada dunia seni suara.
KEYAKINAN, IMPIAN
Berbalik kepada 2022, Poklip sendiri mengharapkan agar dunia seni akan terus berkembang. Tiada lagi diskriminasi dalam kalangan penggiat industri. Tiada lagi isu royalti atau penindasan dalam bidang ini.
Namun untuk mengharapkan industri seni sunyi tanpa kontroversi, itu mustahil. Pasti akan ada sahaja cerita-cerita panas yang bakal mewarnai dunia hiburan tahun depan. Kita pun manusia biasa bukan?
Mana mungkin boleh lari daripada kesilapan. Mana mungkin kita jadi sesempurna ciptaan. Adakala kita tersilap langkah, tersalah aturan. Namun, jangan cepat menghukum. Jangan mudah ‘menerakakan’ semua orang.
Poklip juga sama seperti anda. Manusia biasa. Ada silap salah, yang sedar atau tidak. Tetapi tahun ini, ayuhlah kita berazam untuk menjadi yang lebih baik. Bukan untuk orang lain, tetapi diri sendiri juga.
Tahun ini juga, diharapkan kita mampu meneroka dan menembusi pelbagai cabang seni di peringkat antarabangsa. Mana tahu trofi Oscar atau Grammy mampu jadi milik kita? Berangan tak salah kan. Bukan kena bayar pun.
Tetapi itulah keyakinan yang Poklip letak kepada pemain industri. Bukan satu tekanan tetapi kepercayaan yang pemain industri kita mampu untuk melakukan satu keajaiban. Cuma, tiada lagi birokrasi!
Semuanya kena kerjasama. Jangan ada yang menuding dan merendahkan sesiapa. Jangan ada mereka yang masih menangguk di air keruh. Jangan ada mereka yang untung atas angin.
Menikmati kesenangan berganti kesusahan kepada orang lain.
Ingat, hidup ibarat roda. Jika tidak di sini, ada perhitungannya di akhirat kelak. Jangan seronok di sini, dengan melihat mereka yang lain kesedihan. Cukup sudah, bekerjalah untuk seni. Seikhlasnya.