PETALING JAYA: Baru menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-13 pada 25 Disember lepas, penyanyi Ayu Damit meluahkan rasa syukur kerana memiliki keluarga yang kekal bahagia sehingga ke hari ini.
Akui Ayu atau nama sebenar Norayu Damit, bukan mudah menjaga keharmonian rumah tangga lebih-lebih lagi yang sudah terbina lebih sedekad lamanya.
“Kami berkahwin sudah 13 tahun. Memang banyak pahit manis nya. Jadi kena banyak tolak ansur.
“Saya dan suami bekerja bersama. Tidak pernah berjauhan terlalu lama. Mungkin itulah sebabnya ikatan kami menjadi kukuh selama 13 tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Ayu, dia amat bertuah kerana suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin seorang yang penyayang yang bertanggungjawab terhadap keluarga.
Katanya, selain membantu menguruskan hal rumah tangga, suami juga membantu menguruskan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Kalau saya sibuk, dia bantu uruskan hal rumah tangga.
“Kerjaya saya juga menjadi lebih terurus dengan bantuan suami. Contoh penampilan, dia faham kesesuaian fesyen saya sebagai penyanyi dan juga isteri.
“Dia pada masa sama banyak membantu dari segi penjadualan nyanyian saya. Menjadi lebih teratur. Jadi saya sangat selesa jika dia yang jaga. Tak ada berlaku salah faham dan urusan menjadi lebih mudah,” ujarnya.
Ayu mendirikan rumah tangga pada tahun 2009. Dia dan suami telah dikurniakan 3 orang anak.