Teguran dalam berlawak: Hati-hati, banyak benda sudah tak lawak sekarang - Utusan Malaysia

Teguran dalam berlawak: Hati-hati, banyak benda sudah tak lawak sekarang

KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2021 - Sesi fotografi bersama selebriti, Datuk M.Nasir bersama isteri, Datin Marlia Musa ketika sidang akhbar pelancaran Mencari Sepahtu Yang Hilang di Vee Hotel, Bangsar di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - ATHIRAH ( UTUSAN ) / SAIRUL ( KOSMO )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Menyampahnya pada mutu lawak para comedian negara kita sekarang.”

Mungkin ayat sebegitu adalah yang paling tidak kita semua ingin untuk mendengar kerana jelas, ia juga menggambarkan betapa hambarnya suasana pementasan komedi kita pada waktu ini.

Telanlah rasa pahit ini kerana realitinya, memang itu yang berlaku. Ramai kalangan penonton seakan sudah muak dengan bahan-bahan jenaka berbaur slapstik yang mana kemudiannya menjurus pula ke arah kandungan yang tidak sensitif.

Sekurang-kurangnya, lima tahun di belakang, suasananya masih dianggap meriah yang mana ramai sahaja barisan pelawak kita menyinar cemerlang dengan bahan kandungan jenakanya juga masih punya kualiti.

Tetapi, keadaannya sangat berbeza kini, sekali gus menimbulkan kebimbangan akan kemungkinan graf pementasan komedi bakal terus menjunam sehingga akhirnya, tiada siapa mahu menonton atau bersorak dengan hilai tawa yang selama ini sinonim menjadi ‘makanan’ buat pada pelawak di pentas.

Bertemu dengan mentor profesional dan terkenal dalam bidang seni persembahan, Datin Marlia Musa, Pancaindera menggali apa pandangannya berhubung senario ini.

Marlia sering dirujuk oleh penggiat seni dari aspek ilmu seni persembahan. Tetapi, adakah Marlia sedar industri komedi tanah air kita seakan semakin suram dan hambar rentetan kebelakangan ini, ramai pula pelawak bagai ketandusan idea dan buat lawak slapstik.
Mungkin juga. Ini kerana kita tengok orang yang sama sahaja berputar dalam ruang itu. Contohnya, di pementasan Maharaja Lawak Mega (MLM). Berapa banyak lagi idea yang awak akan ada? Apa lagi nak cerita? Apa lagi nak diperah bukan? Kalau ada muka-muka baru wujud memberi persaingan, ia mungkin akan menyuntik semangat buat pelawak sedia ada untuk buat lebih baik.

Adakah itu bermakna pelawak lama atau sedia ada sudah hilang taringnya? Atau dalam erti kata lain, lawak mereka sudah tak relevan?
Bagi saya, orang lama ini bukannya tidak lawak. Ada masih relevan. Ada masih kelakar. Tapi saya kira, barangkali ada beberapa faktor utama yang mungkin jadi hambar terutamanya apabila mereka sudah tepu.Iyalah, MLM itu sudah masuk musim ke berapa? Kita tetap kita, wajah yang sama. Cuma musim baru ini saja kita tengok ada kumpulan baru. Itu pun wajah-wajah yang pernah kita tengok dua tiga tahun sudah mungkin. Kadangkala sudah boleh agak lawak mereka bagaimana. Kreativiti bukan perkara yang senang untuk diperoleh. Kadang-kadang, awak ada idea yang membuak-buak. Tapi adakala graf boleh jadi perlahan.

Ada berpandangan, hambar itu berlaku kerana pelawak tak dapat respons daripada penonton yang tidak lagi memenuhi ruang studio sebagaimana sebelum Covid-19 melanda dulu? Boleh gunakah alasan itu?
Boleh jadi. Sebab, bila buat persembahan, penonton tak ada, mereka ini pun jadi kurang semangat. Sama juga apa yang dialami oleh Sepahtu misalnya. Mereka ada program sendiri, tapi bila persembahan tiada orang, suasananya berbeza. Pelawak memang memerlukan interaksi penonton.

Sebagai tenaga pengajar dalam bidang seni persembahan,bagaimana Marlia melihat situasi bila ada pelawak yang buat jenaka tapi tidak memikirkan soal sensitiviti. Ada juga yang terlepas laku bila terlalu teruja saat di pentas. Komen?
Begini. Apabila lesennya adalah komedi, jadi ia harus diambil dari sudut lawak sinikal. Kalau katalah pelawak itu sedang perli sesuatu situasi, harus dilihat dari sisi komiknya, iaitu lawak sinikal. Yang saya kira, tidak perlu diambil terlalu serius. Tapi saya tahu, hari ini, masyarakat kita sangat sensitif. Perkara yang dibualkan oleh orang ramai, perkara yang boleh dilawak-lawakkan di kedai kopi, kafe, restoran atau di pejabat, bila sampai di pentas dan di kaca televisyen, habanya jadi lain. Panas tak pasal-pasal. Biasanya, untuk sesebuah program begitu, memang akan ada pemeriksaan bahan kandungan. Jika tak kena, kita akan nasihatkan apa yang boleh dan tidak.

Tetapi, jika benar kandungan sudah diteliti, mengapa masih ada yang buat juga lawak tidak sensitif?
Tapi kalau peserta nak buat juga di belakang kita, itu kita tak boleh kawal. Cuma, kenalah mereka sendiri bertanggungjawab. Kita hanya boleh beritahu. Saya atau produksi misalnya, tentulah tak mahu sesiapa menanggung susah. Sekarang ini, kalau salah cakap, kuasa viral itu sekejap saja. Tahu-tahu esoknya, awak mungkin sudah keluar daripada bisnes ini kerana dihentam teruk. Berbeza dengan dulu, kalau kena hentam pun impaknya tak kuat mana. Sekarang, gelombangnya sangat dahsyat. Sebab itu, kalau tak nak duduk dalam keadaan itu, seseorang itu kena yakin dan kena ada kemahuan melihat perjalanan seninya pergi jauh. Kalau nak, ada bendalah awak kena jaga. Lainlah kalau buat jenaka tak sensitif itu di kelab-kelab tertutup, mungkin lawak itu boleh lepas.

Setuju tak jika dikatakan hendak buat bahan kandungan komedi sekarang seakan sukar atau terhad?
Susah nak cakap juga. Nak cakap soal bahan kandungan ini, adakala, jenaka itu pada saya itu humor tetapi pada awak tidak. Pada saya okey, pada awak tidak. Jadi, ya barangkali ada kesukarannya di situ. Cuma saya harap, jangan pergi kepada isu agama, bangsa, jantina, atau perkara-perkara yang senang membangkitkan isu sensitiviti. Saya juga cuba beritahu pelapis-pelapis pelawak ini agar jangan terlalu suka atau selesa ‘nyahkan diri’, nak jadikan diri perempuan. Itu sudah ketinggalan zaman. Harus tahu, tidak semua nyah itu lawak dan sebenarnya, memang tak banyak benda dah lawak sekarang. Orang sudah terlalu berhati-hati dalam menerima jenaka. Jadi, pelawak pun kena hati-hati dalam berlawak.

Teguran atau nasihat Marlia sebagai guru secara am buat pelawak-pelawak ini?
Jangan pandang remeh sangat pada sesuatu isu. Pastikan diri sentiasa ikuti perkembangan isu semasa, kena selalu membaca. Selalu dapatkan informasi tentang apa yang berlaku. Kalau awak up to date, orang boleh rasa terkait. Kalau awak ketinggalan, dan masih sama, penonton sudah boleh jangka lawak awak. Ambil tahu. Mungkin awak rasa ia cuma satu hal kecil, tapi percayalah, ia boleh beri impak pada persembahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya