Sitkom 90-an sudah tampilkan Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Sitkom 90-an sudah tampilkan Keluarga Malaysia

Watak Budin, Pak Uda dan Mat Deris jadi kekuatan Pi Mai Pi Mai Tang tu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAGASAN pemikiran sesetengah pengarah sitkom tanah air, kadang-kadang cu­kup jauh dan bernas sehingga tanpa disangka ia diterjemah jadi realiti sesudah puluhan tahun drama itu ditayangkan.
Menurut pelakon terkenal, Imuda, perkara ini jelas dilihat melalui sitkom ikonik Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Fenomena yang dicetuskan sitkom tahun 1990-an itu cukup ampuh menyebar mesej keharmonian berbilang kaum di tanah air, hasil garapan pengarah Othman Hafsham.
Katanya, jika diperhalusi, sitkom itu merintis semangat kekitaan antara masyarakat berbilang kaum di tanah air, yang dipotretkan dengan berkesan melalui barisan pelakon yang membawakan watak masing-masing mewakili kaum berbeza termasuk Melayu, Cina dan India.

TIADA PENGISIAN
Hal ini katanya, berbeza dengan sitkom sekarang yang dianggap kurang pengisian, kerana disaratkan dengan lelucon semata-mata dengan harapan dapat buat penonton tak kering gusi.
“Pi Mai Pi Mai Tang Tu lain, cukup berbeza dengan sitkom dan pementasan lawak sekarang. Kalau kita tengok, sekarang ini maaf cakap, tiada penjiwaan dan pengisian dalam lawak yang dipersembahkan.
“Waktu itu, stesen televisyen tak banyak pun, tapi kami buat dengan sepenuh hati. Othman Hafsham yang jadi pengarah, beliau satu-satunya pengarah ada gagasan pemikiran yang jauh merentas zaman. Beliau ada nilai humor, namun waktu itu lagi dah mula memandang ke masa depan.
“Waktu itu lagi, melalui sitkom komedi sudah diterapkan nilai Keluarga Malaysia. Kita baru sekarang nak cakap soal itu, sedangkan dulu lagi sudah ada,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

KEPENTINGAN SITKOM YANG MEMBINA
Katanya, penerbit dan pengarah sekarang tidak boleh terlalu ambil mudah soal wacana dalam skrip, kerana sekali pun pementasan hanya berbentuk sitkom, namun hakikatnya ia merupakan wadah mencorak gaya fikir masyarakat.
“Jangan ingat komedi ini hanya untuk menghiburkan, itu silap. Apa juga bentuk seni lakon, ia sebenarnya memberi mesej kepada masyarakat. Jadi, kalau mesej yang dibawa hanya untuk gelak ketawa tanpa pengisian, maka macam itulah juga yang akan masuk ke minda penonton nanti.
“Sekarang ini, dengan lambakan bahan hiburan yang mudah diperoleh, maka di sinilah pentingnya sitkom berkualiti dan membina masyarakat harmoni. Penerbit, pengarah serta pelakon masing-masing bertanggungjawab dalam perkara ini,” katanya.

FORMULA
Tak keterlaluan andai diibaratkan, bahawa sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu rujukan yang baik buat pengarah era milenial sekarang untuk mencari model sitkom yang sarat pengisian. Ia dipasak kuat oleh nama watak-watak berbilang kaum seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Deris, Mat Over dan Ravi.
Bagi anak kelahiran tahun 1980-an, pasti setiap minggu akan terpacak depan kaca televisyen bersama ibu dan ayah, bersedia dengan sebalang keropok ikan berbentuk jejari dan satu kole air teh o suam. Apa juga siaran yang ditayangkan, si ayah akan minta ditukar, semua untuk memastikan keluarga tak terlepas walau sesaat setiap babak jenaka dalam episod sitkom minggu itu.
“Dalam keadaan Malaysia yang semakin menitikberatkan aspek kemajmukan hidup berbilang bangsa, maka Pi Mai Pi Mai Tang Tu, abang kira contoh rujukan yang baik. Wataknya memang cukup berkesan buat kami semua yang berlakon.
“Bayangkan, dulu pernah ada orang beritahu, abang ini orang ketiga popular di Malaysia selepas Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad (waktu itu PM keempat). Itulah kesan fenomena Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Bukan kepada orang Melayu saja, bahkan juga menusuk kalbu orang Cina, India dan bangsa lain juga,” katanya.

YANG LAMA TERPINGGIR
Melontarkan pandangan, Imuda berkata, stesen televisyen, penerbit serta pengarah filem boleh memberi nafas baru kepada sitkom tanah air, dengan mengangkat kembali pelakon veteran kerana kaya dengan pengalaman.
“Itu hak mereka, pilih bulu dan memberi keutamaan kepada selebriti media sosial berbanding bakat. Mereka punya stesen, maka terpulang pada mereka lah. Tapi pokoknya, kalau tiada yang lama, maka tiada lah muka baru sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya