PETALING JAYA: Bekas pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, 50, memberitahu bahawa dia sudah melepaskan keinginan untuk terus bergiat aktif di dalam industri filem mahupun drama.
Kata Hans, keputusan itu dibuat kerana dia sudah tidak nampak masa depannya sebagai pelakon, penerbit mahupun pengarah.
“Tidak. Sudah tiada minat terhadap itu.
“Industri kita dimonopoli pihak-pihak tertentu. Saya sudah tidak nampak masa depan di sini. Semudah itu.
“Jadi saya pilih untuk tidak melakukannya lagi. Saya telah memilih jalan yang lain, sebagai usahawan,” katanya.
Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac mula menceburkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1995.
Antara filem lakonannya adalah seperti Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan, Laila Isabella, Buli dan banyak lagi.
Kata Hans, tidak semua penggiat filem dan drama menikmati kesenangan hidup lebih-lebih lagi ketika mereka bersara.
Katanya, hanya sebilangan kecil sahaja yang hidup terjamin selepas bersara manakala sejumlah besar yang lain akan terus hidup susah.
“Setiap industri ada rancangan dan jaminan ketika penggiatnya bersara pada umur-umur tertentu.
“Untuk pemain industri kreatif, itu tidak berlaku. Daripada 1,000 orang, mungkin 50 sahaja yang dapat menikmati kelebihan itu. Yang selebihnya akan terus susah sepanjang hidup mereka.
“Oleh itu, tiada gunanya kita mengejar sesuatu yang tidak menjanjikan kestabilan hidup lebih-lebih lagi selepas kita bersara nanti,” tegasnya.