PETALING JAYA: Penyanyi, Zack Kool gagal melayakkan diri ke minggu seterusnya dalam pertandingan realiti Hijrahkan Laguku (HL) terbitan TV AlHijrah,
Zack berkata, walaupun terpaksa meninggalkan program realiti tersebut, dia berpuas hati dengan persembahannya sepanjang empat minggu bersama keluarga HL.
“Sukar untuk saya nilai diri sendiri. Namun yakin, peminat dan penonton HL dapat melihat kesungguhan saya berdakwah menerusi bait lirik dan lagu. Saya bersyukur rezeki sampai di sini sahaja.
“Saya tidak berfikir langsung tentang kegagalan menjadi juara pada kali ini. Saya lebih memikirkan tentang reda Allah dan Rasulullah terhadap apa yang saya dakwahkan menerusi persembahan lagu. Apa yang boleh simpulkan, saya sudah buat yang terbaik.
“Sepanjang empat minggu bersama HL, saya berjaya sampaikan mesej tentang taubat, istiqamah dalam perjuangan, kematian, serta cintakan Nabi Muhammad. Semua ini saya lakukan menerusi lagu Bebas, Bisikan Kalbu, Tak Kekal Lama serta Aisyah Isteri Rasulullah serta Ya Rasulullah,” katanya.
Mengulas lanjut, Zack berkongsi dia akan berada di studio untuk bergiat aktif menjalani rakaman lagu dan membuat kerja-kerja menulis lirik ketuhanan, selepas ini.
“Saya merancang untuk menyanyikan lagu baru ini di salah satu episod HL. Namun apakan daya, perjuangan saya terhenti di sini. Jika diberi peluang, saya ingin nyanyikan lagu baru ini di platform bersesuaian yang diberikan oleh TV AlHijrah.
“Apa-apa pun, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada TV AlHijrah atas peluang yang diberikan kepada kami yang sudah berhijrah untuk terus bergelar anak seni di ruangan berbeza yang lebih diredai Yang Maha Esa,” ucap Zack.
Bertemakan Madley, Zack Kool yang menyampaikan lagu Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah gagal menambat hati Fauzi Marzuki, Hazimin Inteam serta Ustaz Syamsul Debat yang hadir sebagai juri apabila hanya mendapat 55 markah keseluruhan.
Penyingkiran penyanyi berkenaan menjadikan enam peserta lagi yang tinggal untuk terus berjuang di episod kelima bertemakan ‘Laguku, Lagumu Jua’ pada minggu hadapan.
Sebagai informasi, Hijrahkan Laguku bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam dan mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).