PETALING JAYA: Penyanyi berbakat, Yuka Kharisma mengakui keadaannya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga bukan satu perkara yang mudah untuk diterima.
Yuka yang dilahirkan di Aceh, Indonesia berkata, itu adalah antara cabaran yang dilaluinya sepanjang bergelar anak seni di Malaysia.
“Banyak yang saya lalui. Perjalanan saya bukannya mudah, ditambah pula dengan keadaan berjauhan dari keluarga terutamanya ibu yang berada di Bandung Indonesia kadang-kadang memeritkan.
“Namun saya termui kebahagiaan di sini apabila mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia. Indah bukan aturan jalan tuhan itu,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi bersuara lantang ini baru-baru ini melancarkan single, Tentang Rasa ciptaan komposer berpengalaman yang juga suaminya, Ahmad Jeffny.
Bercerita tentang itu, kata Yuka lagu istimewa tersebut dihasilkan sekian lama, sebelum dia bergelar isteri kepada Ahmad Jeffny.
“Saya sangat suka dengan lirik dan melodinya yang simple, romantik dan apa adanya.
“Ibarat rasa cinta yang tulus dan murni tanpa maksud tersembunyi, hanya menyayangi sepenuh hati.
“Lagu ini menceritakan tentang sebuah rasa yang murni, jujur dan tulus buat seseorang. Sepasang kekasih saling mengisi dan melengkapi satu sama lain,” jelasnya.
Tentang Rasa boleh dimuat turun menerusi iTunes Store. Ia juga boleh diperdengarkan di Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.