KUALA LUMPUR : Pelakon, Oktovia Manrose, 30, sah bergelar isteri kepada kenalan lama yang juga bekas pemain bola sepak, Mohamad Khairul Efsan Mdisa, 31.
Kedua pasangan disatukan dengan sekali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Magica Quill Ballroom, Quill City Mall, kira-kira pukul 9.30 malam semalam.
Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman dinikahkan bapa kandungnya yang juga penyanyi dangdut, Wan Syahman Wan Yunus atau Iwan.
Pernikahan tersebut disaksikan jurunikah, Mohd Fairudz Saderi.
Pelakon filem Minah Moto itu menerima lima dulang hantaran berbalas tiga dari pihak pengantin lelaki.
Dalam pada itu, Khairul telah menyerahkan mas kahwin berjumlah RM80. Pasangan tersebut bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan kedua pihak.
Oktovia dan Khairul yang ditemui pada majlis tersebut memberitahu mereka saling mengenali sebagai rakan biasa sejak tujuh tahun yang lalu.
“Kami mula berkawan pada 2015. Kenal menerusi ahli keluarga terdekat. Ketika itu tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap satu sama lain. Hanya sekadar kawan biasa.
“Pada 2017 dan beberapa tahun selepas itu kami terputus hubungan. Perasaan terhadap satu dengan lain mula timbul apabila kami dipertemukan semula beberapa tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Oktavia mengakui keinginan bekas anggota pasukan Melaka United itu untuk sama-sama berhijrah mendekati Allah SWT menjadi antara sebab dirinya tertarik untuk bersuamikan Khairul.
“Dia lebih kurang diri saya. Saya sekarang dalam proses mendekatkan diri kepada Allah SWT, begitu juga dia. Kerana itu saya tertarik kepadanya,” ujarnya.
Oktovia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suami, Mohd. Izat Abdul Rahman sekitar tahun 2011.
Kedua mereka bagaimanapun telah bercerai pada tahun 2015. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia sembilan tahun.