Masuk ke Alam Bunyian - Utusan Malaysia

Masuk ke Alam Bunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK sekatan pergerakan dilonggarkan, acara melibatkan muzik tak henti-henti dianjurkan. Setiap minggu, ada sahaja acara yang berjalan dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan. Pelbagai nama penganjur mula kelihatan dari Atas Angin, Sirap Ais, Freedom A(r)t Home sehinggalah media-media seperti Junklist dan LUAS turut menganjurkan acara.

Dalam nama-nama tersebut, terselit juga penganjur acara berpengalaman seperti Alam Bunyian. Tertubuh pada 2018, Alam Bunyian punya portfolio yang prolifik. Kira-kira 20 acara pernah dianjurkan oleh kolektif seni dari pelbagai lapangan ini.

Mereka bermula dengan menganjurkan acara sempena penutupan ruang acara. Permulaan sebegini memberikan kelebihan, kata salah seorang pengasasnya, Moja Husni. Kongsinya, disebabkan itu acara penutup, mereka boleh bereksperimentasi dengan konsep.

“Bagi aku, Alam Bunyian berbeza sebab kami buat benda yang orang lain tak berani buat. Contohnya gig yang kecil tapi ada visual, guna asap, bunyi yang baik.

“Kami rasa orang akan lebih menghargai seni jika ia disampaikan dengan cantik. Itu jadi salah satu misi kami juga, nak tingkatkan penghargaan seni,” katanya yang menubuhkan Alam Bunyian bersama dua orang rakan, Roy dan Acap.


Jadi inspirasi

Menurut Roy, Alam Bunyian telah berjaya memulakan trend baharu dalam penganjuran gig dengan memberi perhatian terhadap hal yang sering diabaikan penganjur sebelumnya.
Sebagai contoh, dia begitu mementingkan reka poster yang cantik untuk gig.

“Orang datang tak kenal pun siapa artis, tapi dia tertarik dengan poster,” katanya.

Mereka juga pernah menganjurkan gig dengan dua pentas, walaupun ruang yang digunakan kecil.

“Orang sanggup turun naik tangga dari pentas satu ke pentas dua, sebab nak nikmati kedua-dua persembahan,” kongsinya.

Acap pula lebih jelas dengan motivasinya ketika mula menubuhkan Alam Bunyian. Alasannya ringkas, dia hanya mahu merasai pengalaman yang tiada dalam gig-gig yang dihadirinya sebelum ini.
“Sebelum ini kalau ke mana-mana acara, mesti ada yang kami tak dapat. Jadi, kami anjurkan sendiri,” katanya.

Dari motivasi seringkas itu, Alam Bunyian berkembang menjadi ‘universiti’ buat peminat muzik independen. Sukarelawan yang pernah berkhidmat dengan mereka kini sudah mampu menganjurkan acara sendiri atau bekerja untuk acara yang lebih besar.

Dari penganjur acara, Alam Bunyian kini berkembang menjadi produksi. Penglibatan Jefrey Adam dan kepakaran videografinya meluaskan peranan kolektif itu.

Setakat ini, Alam Bunyian telah menerbitkan dua video muzik dengan kualiti tersendiri. Pertama, video muzik debut Late Night Frequency dengan lagu Fun Lust Love dan terbaharu, video muzik Biarkan Masa dendangan Dewataraya dan Heidi Moru.

Disko Senyap

Hiatus selama dua tahun membolehkan Alam Bunyian merealisasikan idea yang sekian lama tersimpan. Sejak penganjuran acara terakhir pada April 2019, mereka kembali pada April 2021 dengan menyertai Hari Gig Kebangsaan (HGK).

Dalam puluhan gig yang dianjurkan pada HGK, Alam Bunyian tampil dengan kelainan melalui Disko Senyap. Konsep ini sudah lama tetapi disuntik nafas baharu. Jika disko senyap selama ini menampilkan putaran lagu oleh DJ, mereka buat persembahan langsung oleh kugiran dan penyanyi.

Dalam Disko Senyap, setiap penonton akan diberi fon kepala untuk mendapatkan bunyi terbaik persembahan yang berlangsung. Anda boleh berlegar di seluruh ruang acara dan masih mendapat bunyian terbaik.

Menutup 2021, Alam Bunyian akan menganjurkan Disko Senyap 2 dengan pembaharuan apabila melibatkan dua pentas, atau dipanggil realm oleh mereka. Electronic Realm menampilkan persembahan langsung oleh kugiran Son Of A Policemen dan Motherwit serta dua persembahan hip hop oleh Laws dan 0108Slatan. Untuk DJ Realm pula, ada putaran lagu-lagu oleh tiga DJ, iaitu Fizi, HangL3bat dan No Kancheong. Anda hanya perlu tukar saluran di fon kepala untuk berada di mana-mana realm.

Acara ini bakal berlangsung di Pentas Dua KLPAC pada 25 Disember. Dengan kapasiti 90 penonton, Alam Bunyian berharap peminat muzik dapat merebut peluang untuk mengalami sendiri pengalaman baharu menikmati persembahan muzik dengan cara yang unik.

“Kami tak jual persembahan, kami jual pengalaman,”kata Moja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya