PUTRAJAYA : Melahirkan rasa simpati dan sedih dengan situasi musibah yang melanda beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur ketika ini, duo Saiful Apek dan Yassin Senario (Sa.Ya) tidak menolak tentunya ada hikmah di sebalik ujian ini.
Menurut Saiful, dia barangkali tidak mampu untuk meluangkan masa untuk turun padang sebagaimana rakan-rakan artis lain namun mencuba sedaya upaya untuk membantu daripada aspek lain.
“Setakat ini, tiada ahli keluarga saya terlibat. Tapi sejak kejadian berlaku, banyak juga pihak dan pengikut yang mula menghantar mesej di ruangan peribadi di media sosial. Rata-ratanya memaklum dan mengajak saya untuk bersama-sama membantu.
“Mungkin saya tak dapat turun padang, tapi saya bantu dari segi menyampaikan semua informasi-informasi berkaitan kejadian atau makluman bantuan menerusi Twitter dan Instagram misalnya.
“Memang cepat saja saya sebarkan makluman. Diharapkan dengan cara itu dapatlah saya membantu juga,”katanya.
Saiful berkata demikian semasa ditemui selepas kumpulan Sa.Ya selesai membuat persembahan pada konsert Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, kelmarin.
Selain itu, respons yang sama diterima Utusan Malaysia daripada rakan seperjuangannya, Yassin yang percaya bahawa setiap musibah itu tersembunyi hikmah yang lebih baik.
“Tentu sekali musibah seperti ini bukanlah keinginan kita semua. Tetapi letakkan kepercayaan bahawa akan ada yang lebih baik Tuhan akan berikan di sebalik semua ini.
“Kita bersangka baik sebab bencana alam ini memang kita tak boleh nak duga. Barangkali ini juga cara Allah SWT mahu ‘membersihkan’ alam sekitar dengan cara-Nya yang kita tidak tahu,”katanya.
Dalam pada itu, Yassin dan Saiful, menyuntik kata-kata semangat agar setiap mangsa termasuk semua rakyat dalam negara untuk sama-sama tidak putus untuk berdoa.
“Jangan putus asa untuk berdoa dan mengharapkan kebaikan. Tetapi, harus hati-hati dalam berdoa juga.
“Kalau kita minta hujan, kena sentiasa bersedia untuk berlumpur. Kalau kita minta panas, kena sentiasa bersedia untuk berpanas. Jadi hati-hati,”kata Saiful.