KUALA LUMPUR : Sejumlah barangan berbentuk bantal dan tuala yang dianggarkan bernilai RM156,000 telah disumbangkan oleh jenama tempatan, DAG bagi menampung keperluan mangsa-mangsa banjir yang terjejas di beberapa daerah di Selangor dan di ibu kota.
Menurut pengasas jenama tersebut, Das Abdul, 36, syarikat Das Abdul Global Sdn Bhd cukup memahami dan prihatin akan situasi yang menimpa mangsa-mangsa banjir dan telah menggerakkan bantuan selama tiga hari bermula 20 Disember lalu.
“Saya tahu bagaimana perasaan mangsa banjir saat ini kerana pernah merasai kegetiran itu dulu, di tanah kelahiran sendiri di Kelantan pad atahun 2014. Masa itu, seminggu juga saya hidup dan tidur bertemankan air (banjir) kerana menyelamatkan barang. Masa itu saya dan isteri baru mempunyai anak sulung yang berusia dua tahun.
“Hampir 80 peratus barang kelengkapan rumah, perniagaan resort dan pusat latihan serta produk permainan kanak kanak musnah teruk ketika itu.
“Jadi saya fikir dengan perniagaan yang diusahakan serta sumbangan usahawan DAG dan rakan, dapatlah serba sedikit membantu mengurangkan beban mangsa banjir,” katanya.
Das berkata, dalam tempoh tiga hari usaha bantuan telah disalurkan kepada hampir 30 lokasi di sekitar Selangor dan di ibu kota.
Malah, katanya, secara total sebanyak 2,694 biji bantal dan 700 helai tuala berjaya disalurkan sepanjang gerakan bantuan itu dilaksanakan.
“Saat tergerak hati nak bantu itu, saya panjangkan mesej meminta bantuan kepada usahawan DAG di ruangan WhatsApp jika mereka juga ingin membantu menyumbangkan bantal khususnya dengan membeli pada kadar separuh harga.
“Hari pertama gerakan bantuan dan sumbangan ini, saya dan kumpulan pekerja bergerak dengan kenderaan pacuan empat roda, van dan lori. Hari kedua, pula kami turut menerima tajaan lori 5 tan yang mana dapat memuatkan 900 biji bantal hasil sumbangan untuk agihan.
“Usaha ini akan berterusan dalam tempoh tertentu. Insya-Allah selagi boleh kita nak bantu mereka yang terkesan dengan bencana ini seiring dengan kempen Tidur Nyenyak diusahakan DAG. Terima kasih usahawan DAG, rakan dan keluarga atas sumbangan diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, Das turut berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Utara, Mohd Syahrul Amri Mat Sari yang turut menjadi pemudah cara ketika misi bantuan dilakukan.
“Kesempatan melawat lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membuka peluang saya melihat apa yang diperlukan mangsa. Ramai sebenarnya memerlukan keperluan asas seperti tuala, bantal, tilam dan sebagainya.
“Ramai yang menyumbangkan makanan dan pakaian hingga dilaporkan ada yang terbiar begitu saja. Jadi secara tak langsung seiring dengan perniagaan diusahakan, bantuan itu tepat dengan keperluan.Bantal yang kita sumbangkan juga cukup premium seperti di hotel.
“Secara purata untuk sebuah rumah atau keluarga kita berikan dua ketiga bantal. Kita juga mahu tekankan soal sumbangan bantal ini juga bukan semata mata sumbangan. Tapi yakin tidur yang nyenyak penting dalam situasi mangsa yang pastinya stres dan fikir itu ini,”katanya.
DAG telah ditubuhkan sejak 24 Februari 2016 di Parit Raja, Johor dan sehingga kini telah memiliki seramai 6,000 agen di seluruh Malaysia.