JIKA kolum hiburan lain, mungkin kepelbagaian bangsa dalam The Filters akan ditonjolkan. Kugiran ini dianggotai empat anak muda dari tiga bangsa utama Malaysia. Ada Ian Francis Khoo (vokal, gitar), Iain Chan (gitar), Reuben Ravi (bass) dan Aiman Shakirin (dram).
Namun, saya lebih tertarik dengan kepelbagaian pengaruh muzik mereka. Sebagai The Filters, mereka bermain genre fractional math rock atau lebih umum, indie rock. Secara individu, mereka punya pengaruh dan rujukan masing-masing.
Menurut Aiman, dia bermula dengan muzik keras seperti metal, kemudian diperkenalkan dengan muzik yang lebih alternatif oleh Ian. Bagi Reuben pula, walaupun anggota paling ganas ketika persembahan, lebih pop. Sheila Majid antara penyanyi kegemarannya. Chan pula saya tak sempat tanya sebab dia balik awal.
Campuran kimia muzik sebegini lebih menarik berbanding variasi bangsa mereka. Kepelbagaian pengaruh muzik akan mempengaruhi produk akhir mereka. Mungkin belum jelas dalam album pertama, Exhaler tapi saya menantikan produk-produk mereka yang seterusnya nanti.
Barang lama
Exhaler merupakan album sulung kugiran ini. Dilancarkan November lalu pada tahun ke-8 penubuhannya.
Menurut Aiman, lagu-lagu dalam album ini telah dihasilkan lama, sebahagiannya ketika The Filters baru ditubuhkan.
“Kami dah bosan sebenarnya main lagu-lagu dalam album ini. Lebih teruja nak main lagu-lagu baharu,” katanya. Namun, mereka mungkin perlu mainkan lagu-lagu dalam Exhaler lebih lama kerana masih ramai peminat yang teruja dengan album tersebut. Sehinggakan, tiket persembahan sempena pelancaran album mereka habis dijual dalam satu hari.
“Kami tak sangka kami akan ada album,” celah Reuben. Itu juga kata Ian tetapi nasib baik, Chan yang yakinkan mereka untuk keluarkan album.
“Pertama kali saya dengar, saya rasa bunyi mereka istimewa. Saya fikir, lagu-lagu ini perlu dirakamkan,” kata Chan.
Bunyi pelik
Bermain genre math rock, atau apa-apa subgenre yang berkaitan dengannya bukanlah pilihan baik jika anda mahu popular di Malaysia. Muzik yang berat dari segi teknikal sebegini sukar mendapat perhatian massa.
Ian menjelaskan math rock dengan ringkas. Katanya, ia muzik dengan struktur yang tidak bersambung dan menggunakan ukuran masa yang aneh.
“Dari tanda masa biasa seperti 4/4, kami guna 5/4 atau 7/8. Ia kompleks dan memerlukan perhatian yang banyak serta pelapisan (layering) yang teliti. Itu definisi termudah yang boleh diberikan.
“Tapi jika tanya kami, kami pun tak faham sangat. Pendekatan kami, kami cuba saja,” katanya.
Sebab itu, mereka tidak pernah mendabik dada kata mereka kugiran math rock. Genre itu dijadikan inspirasi dan rujukan, sebab itu genre mereka fractional math rock.
Terbang ke antarabangsa
Kelebihan kugiran yang bermain genre niche sebegini, terutamanya dalam bahasa Inggeris, mereka mudah mendapat perhatian antarabangsa. Walaupun peminat yang mereka dapat dari luar negara itu juga dalam jumlah yang kecil, namun kejayaan sebegitu wajar diraikan.
Seperti The Filters, mereka telah berjaya menempa nama dalam beberapa hal di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah tampil dalam siri Audiotree Worldwide pada Julai lalu. Audiotree merupakan syarikat rakaman independen dari Amerika Syarikat.
Terbaharu, The Filters berjaya pula menerobos masuk ke pencalonan BandLab NME Awards 2022 untuk kategori Best New Asian Act. Anugerah anjuran portal muzik antarabangsa terkenal itu pertama kali memperkenalkan lima kategori khas untuk bakat Asia Tenggara dan tiga artis dari Malaysia dicalonkan kali ini, termasuk The Filters.
Kugiran itu dicalonkan bersama Alec Orachi dari Thailand, Shye (Singapura), Ena Mori (Filipina) dan Warren Hue (Indonesia). Dua lagi bakat tempatan yang berjaya tercalon ialah No Good (Best Asian Album dan Best Asian Band) serta ForceParkBois (Best Asian Song dengan lagu Lotus).
Dengan kejayaan-kejayaan yang ada, lebih banyak sebab untuk The Filters terus aktif dalam lapangan independen dan mengumpul lebih banyak peminat, selain terus menghasilkan karya-karya segar.
Buat yang baru nak kenal The Filters, boleh ikuti semua media sosial mereka dan belilah album pertama mereka. Album Exhaler penting untuk dimiliki kerana mereka kini sudah dalam proses untuk album kedua dan ia bakal menampilkan sisi berbeza The Filters. – UTUSAN