Buat hal dengan ‘Castello’, sedekad Diwan Nawi hilang - Utusan Malaysia

Buat hal dengan ‘Castello’, sedekad Diwan Nawi hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas program realiti seni lakon, Pilih Kasih (PK) terbitan Suhan Movies di RTM1 berakhir pada 2009, nama anak didik Datuk Rosyam Nor seperti Zulin Aziz, Reza Hasbi dan Diwan Nawi mula menonjol.

Namun ketika kerjaya lakonannya baru bermula, Diwan atau nama sebenar, Redzuan Rosli, 31, secara tiba-tiba menyepi. Buka setahun dua, namun sedekad lamanya anak Kelantan ini ‘hilang’ dari radar seni.

Ditemui pemberita baru-baru ini, Diwan berkata, fitnah orang ke atasnya sehingga timbul konflik dengan mentor sendiri iaitu Rosyam yang turut sinonim dengan watak Castello menjadi punca dia membawa diri.

Kata Diwan, dia pada awalnya dilabel tidak berdisiplin oleh segelintir pihak kerana dituduh melanggar peraturan apabila membenarkan dua peserta yang sudah tersingkir masuk ke biliknya sebelum malam final PK.

“Kejadian itu menjejaskan peluang saya pada malam final, namun selepas PK berakhir, rezeki saya tetap murah apabila sering dapat job dari RTM dengan watak hero. Pandangan pelbagai pihak bagaimanapun tidak berubah. Ramai membenci saya dalam diam.

“Jadi saya ambil keputusan undur diri dan cari bekalan sebelum muncul semula untuk buktikan kepada semua pihak, Datuk Rosyam tidak silap memilih saya sebagai anak didiknya. Hari ini saya berjaya bina syarikat produksi sendiri berbekalkan ilmu yang beliau curahkan,” katanya.

Neo Diwannawi Production diwujudkan bersama rakan niaga, Prof Dr. Abdul Aziz Al-Safie. Syarikat produksi tunggal bertapak di Kubang Kerian itu kini aktif menghasilkan drama dan dokumentari pendek.

Bercerita lanjut, Diwan memberitahu, dalam tempoh sedekad tidak berlakon, dia menjalankan pelbagai perniagaan demi kelangsungan hidup, antaranya berniaga nasi dan kuih di tepi jalan dan menjadi ejen insurans.

“Saya tahu Datuk Rosyam juga melakukan pelbagai pekerjaan dari bawah sebelum berjaya. Jadi saya kuatkan semangat hinggalah saya bertemu rakan kongsi dan kami berjaya mengumpul modal untuk menubuhkan Neo Diwannawi Production.

“Disebabkan saya amat menghormati Datuk Rosyam, saya mengekalkan gelaran Diwan Nawi yang sebenarnya dicetuskan beliau sendiri. Malah juga saya mengabadikannya sebagai nama syarikat produksi ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya