KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kelapan perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain Saidin baru-baru ini terbantut apabila suaminya,pelakon, Zain Saidin dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana, telah disahkan positif Covid-19 pada bulan lalu.
Menurut pelakon yang selesa disapa sebagai Che Ta itu, berikutan situasi tak terduga itu, perancangannya untuk menikmati percutian ke sebuah pulau persendirian di Langkawi juga terpaksa ditunda.
“Mengikut perancangan, adalah dalam seminggu juga saya, suami dan Aaisyah ditemani jurugambar mahu menikmati percutian di pulau itu. Kami patut pulang daripada percutian itu sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan yang diraikan pada 11 Disember lalu.
“Apa nak buat, kita tak mampu menghalang semua ini. Zain sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama bulan lalu, tapi akhirnya kena tolak tawaran itu.
“Dia memang bergejala seperti batuk, selsema dan demam. Cuma dia sendiri kurang pasti terkena virus itu dari mana. Kemudian berjangkit pula kepada Aaisyah,”katanya.
Bagaimanapun, kata Che Ta, dia bersyukur kerana anak perempuannya itu cuma mengalami demam sahaja manakala deria rasanya masih ada.
“Saya pun bersyukur kerana diri sendiri dan abang-abang Aaisyah disahkan negatif. Alhamdulillah, Zain dan Aaisyah kini sudah pulih sepenuhnya,”katanya.
Dalam pada itu, pelakon ini mengaku dirinya, Zain dan dua anak lelakinya sudah pun mendapatkan dua dos vaksin sebelum ini sebagaimana yang disarankan oleh pihak kerajaan.
“Tetapi, walaupun sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, ia bukan jaminan yang virus jahat itu takkan menyerang.
“Virus ini memang ada di sekeliling kita. Apabila kena batang hidung sendiri saat ahli keluarga dan adik-beradik sendiri positif wabak itu, kita kena reda.
“Kadang kadang sejauh mana kita berhati hati pun, perkara nak jadi, ia akan terjadi juga,”katanya.
Menurut Che Ta lagi, sebelum ini, ibu dan adik-beradiknya turut positif Covid-19 beberapa bulan lalu.