PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali memaklumkan dia dan pelakon Syakilla Khoriri telah mengambil keputusan untuk berpisah.
Perkhabaran tersebut dikongsikan oleh Fizi sendiri menerusi satu perkongsian di entri Instagram miliknya, hari ini.
“Assalamualaikum semua, maaf kepada mereka yang tertanya-tanya apa terjadi kepada saya dalam beberapa minggu ini.
“Dengan berat hati, ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla kini tidak lagi bersama dan akan membawa haluan masing-masing,” kongsinya di Instagram.
Mengulas lanjut, walaupun selepas ini mereka sudah membawa haluan masing-masing, namun kedua figura itu tetap bersepakat untuk membesarkan anak perempuannya, Ameena dengan penuh kasih sayang.
“Walaupun hidup berasingan, kami juga sudah bersepakat akan membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang.
“Kami janji Ameena tetap akan merasai kasih sayang sepenuhnya dari Daddy dan Umi.
“Kami berharap agar semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai di sini,” katanya.
Di samping itu, dia sempat menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan mereka bertiga untuk meneruskan kehidupan.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata menzahirkan rasa terkejut dengan berita itu selain memanjatkan doa yang baik-baik buat mereka.
Sekadar informasi, Fizi dan Shakilla selamat diijab kabulkan pada tanggal 18 Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Ameena Sofia.