PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Mark Adam disahkan positif Covid-19 pada malam Sabtu lepas dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Perkhabaran tersebut dikongsikan sendiri isteri tercintanya, Norazah Redzuan menerusi entri Instagram miliknya, semalam.
Bagaimanapun, dia memaklumkan dirinya tidak dijangkiti virus berkenaan dan menjalani kuarantin bersama di kediaman mereka.
“Salam semua, suami saya Mark Adam telah disahkan positif Covid-19 malam tadi (Sabtu).
“Alhamdulillah, saya negatif. Sekarang ini kami sedang menjalani kuarantin di rumah. Alhamdulillah juga, keadaan Mark baik,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, Norazah sempat meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan mereka agar pulih seperti biasa.
“Mohon doakan kesihatan kami pulih seperti biasa, InsyaAllah. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua. Amin.
“Ya Allah sesungguhnya aku reda dengan setiap ujian Mu. Aku bersyukur kerana diberi peluang berdepan dengan masalah ini.
“Dan aku yakin, Engkau memilih aku kerana kuat dan mampu hadapinya. Semoga cepat sihat B (suaminya), InsyaAllah semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan doa buat pasangan tersebut agar kembali sihat seperti sedia kala selain dipermudahkan segala urusan mereka berdua.