PETALING JAYA: Pernah gagal dalam perkahwinan pertama tidak pernah memutuskan semangat penyanyi, Zehra Zambri, 34, untuk mencari pasangan hidup.
Gelaran janda membuatkan dia lebih berhati-hati memilih calon suami selepas perkahwinan pertama pada 14 Oktober 2017, hanya bertahan selama enam bulan.
Peristiwa tiga tahun lalu seboleh-bolehnya tidak mahu lagi dikenang kerana cukuplah ia menjadi sebuah pengajaran besar dalam hidupnya.
Pelantun lagu Semalakama itu kini sudah tidak lagi bergelar janda selepas selamat melangsungkan pernikahan dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin, 38, di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, pukul 10.30 pagi, Khamis lalu.
Zehra yang juga penyampai berita RTM bertemu jodoh dengan rakan sekerja di tempat sama.
Walaupun suaminya berstatus duda dua anak, ia tidak pernah menjadi penghalang buat Zehra yang mahu lelaki matang sebagai peneman hidupnya.
Siapa sangka, hatinya kini terpaut dengan jejaka berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan.
“Kami mula mengenali semasa dia mula bekerja di RTM pada hujung Disember 2019.
“Suami bertugas di bahagian Berita Ehwal Semasa sebagai penyunting berita tv,” katanya.
Bekas finalis Anugerah Juara Lagu ke-20 pada 2005 itu berharap perkahwinan kedua mereka berkekalan sehingga hujung usia.
“Kami masing-masing pernah berkahwin, jadi untuk kali ini kami akan perbaiki kelemahan dan saling memahami antara satu sama lain.
“Kami juga merancang hendak berbulan madu di Langkawi,” ujarnya.
Zehra Zambri pernah menyertai rancangan realiti tv, Ikon Siarawan 2016 sebelum berkecimpung sebagai wartawan penyiaran sepenuh masa di RTM.-UTUSAN