Yayan Ruhian beraksi dengan Bill Skarsgard di Hollywood - Utusan Malaysia

Yayan Ruhian beraksi dengan Bill Skarsgard di Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bintang filem aksi terkenal kelahiran Indonesia, Yayan Ruhian, dikhabarkan akan kembali terlibat dalam produksi filem di Hollywood selepas sekian lama tidak dapat beraksi akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dua tahun lalu.

Menurut Yayan, menerusi projek baru, dia akan bergandingan dengan aktor terkenal Hollywood, Bill Skarsgard dan Samara Weaving dalam sebuah filem berjudul Boy Kills World.

“Saya telah dihubungi oleh pihak produksi di sana sekitar dua bulan lalu. Saya tidak teragak-agak untuk mengatakan kata setuju tatkala dipelawa.

“Selepas menandatangani kontrak dan diberikan skrip, saya semakin tertarik dengan jalan ceritanya,”katanya.

Selain itu, kata Yayan, dia bersyukur kerana dapat kembali bekerjasama dengan sutradara dan produksi antarabangsa.

Malah, mengikut perancangan, dia akan bertolak ke Amerika Syarikat (AS) sekitar awal tahun depan.

“Mengikut perancangan, awal tahun depan saya akan berangkat ke AS untuk menjalani sesi penggambaran. Buat masa ini, masih belum ada persiapan yang khusus dan menunggu lampu hijau dari pihak di sana.

“Kalau nak disentuh mengenai latihan, sebenarnya saya tetap berlatih melakukan aksi seni bela diri walaupun tiada apa-apa projek sebelum ini,”katanya.

Selain itu, di tangga usia yang kini menjengah angka 50, Yayan, mengaku serius menjaga kesihatan tubuh badan dengan antaranya mengamalkan rutin latihan tujuh hari seminggu.

“Kalau di umur saya kini, sehari saja tertinggal atau tidak berlatih, badan mula terasa sakit-sakit. Latihan bukan lagi kewajiban, tapi sudah jadi keperluan,”katanya.

Dalam pada itu, Yayan menolak andaian ramai bahawa dia lebih selesa mengambil tawaran berlakon di Hollywood kerana dibayar mahal.

Jelas Yayan, ia bukan sekadar soal bayaran kerana baginya ada banyak aspek lain yang menyebabkan dirinya selesa bekerja dengan produksi luar.

“Yang membezakan cara persiapan filem di dalam dengan di luar adalah disiplinnya. Jadi, harus profesional menepati waktu. Misalnya kalau sudah berjanji pukul 7 pagi, maka 7 pagi harus ada,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya