JAKARTA: Pelakon, Vanessa Angel dan suami, Bibi Andriansyah disahkan terkorban dalam kemalangan jalan raya berdekatan plaza tol Nganjuk, Surabaya dekat sini.
Lapor Suara.com, khabar duka itu disahkan Pesuruhjaya Polis Daerah Jawa Timur, Latif Usman.
Kata Latif, kedua pasangan yang duduk di bahagian kiri kenderaan terbabit meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami mereka.
“Vanessa dan suaminya, yang duduk di bahagian kiri kenderaan mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Dalam kejadian, kenderaan Mitsubishi Pajero Sport berwarna putih dinaiki mangsa dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh penghadang di plaza tol berkenaan.
Tiga lagi penumpang, termasuk anak mendiang mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Bhayangkara Surabaya.
Dalam masa yang sama, jenazah kedua pasangan tersebut turut dibawa ke hospital yang sama.