Usah kedekut menjaga haiwan peliharaan - Utusan Malaysia

Usah kedekut menjaga haiwan peliharaan

Penjagaan haiwan secara berkala juga penting bagi mengelak pemilik menanggung kos rawatan penyakit yang tinggi di kemudian hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jika diperhatikan, kini semakin banyak pusat perubatan veterinar atau klinik haiwan beroperasi menawarkan perkhidmatan bagi mereka yang mahukan rawatan terbaik untuk haiwan peliharaan masing-masing.

Ini kerana, sejak beberapa dekad ini, semakin ramai pencinta haiwan terutama haiwan peliharaan seperti kucing yang begitu mementingkan penjagaan khusus buat si bulu yang dianggap tidak ubah seperti ‘anak’ sendiri sehingga menjadikan permintaan terhadap bidang veterinar semakin bertambah.

Tambahan pula, akses kepada penjagaan kesihatan haiwan semakin meluas di negara ini hingga ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.

Perkara ini turut diakui oleh doktor haiwan yang juga pengasas klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet, Dr Siti Nadzirah Zulkiffle, 33, yang menerima perkembangan ini sebagai satu suasana yang positif sementelah semakin ramai yang cakna dengan rawatan kesihatan si manja masing-masing.

“Buktinya, klinik saya sendiri sampai tahap menawarkan khidmat rundingan percuma sejak Mac tahun lalu bagi menggalakkan lebih ramai lagi menjaga haiwan dengan betul. Semuanya juga disebabkan ramai yang nak tahu kaedah rawatan yang betul.

“Tak dinafikan, kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah ribuan ringgit. Contohnya, kalau haiwan itu patah tulang, harga rawatan boleh mencecah empat angka kosnya.

“Kalau rawatan penyakit yang boleh dicegah pula mungkin dalam anggaran kos RM1,000 hingga RM2,500. Walhal, vaksin ubat kutu atau ubat cacing cuma sekitar RM100 ke RM150 sahaja.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah, kalau pandai jaga dan mencegah dari awal, pemilik haiwan boleh elak menanggung kos yang mahal dan semua itu,” katanya.

Dr. Nadz.

Berkongsi lanjut, kata Dr Nadz, dia juga pernah berdepan dengan pemilik haiwan yang terpaksa meminta pusat rawatan untuk mematikan si manja mereka kerana satu daripada faktornya, tidak mampu menanggung kos penjagaan.

Ada yang meminta berbuat demikian atas beberapa sebab, tapi saya tak sanggup melakukannya. Malah mencadangkan kepada pemilik haiwan untuk membenarkan kucing mereka diambil alih orang lain sebagai alternatif,”katanya.

Selain itu, katanya, objektif membangunkan klinik bukan saja mahu menyelamatkan haiwan yang sakit atau tercedera sebaliknya dia mahu memberi nilai kehidupan kepada makhluk Tuhan itu.

“Haiwan itu tidak boleh bercakap jika ada sebarang masalah kesihatan. Lalu siapa lagi yang boleh diharapkan selain doktor haiwan untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami dan memberikan rawatan sesuai kepada mereka?

“Kadangkala pemilik haiwan itu sendiri tidak tahu atau tidak dapat mengenal pasti masalah yang haiwan mereka alami.

“Jadi, pentingnya tugas kami untuk membantu menyelamatkan haiwan dan berbakti kepada mereka,” katanya.

Bagi meneruskan ruang memberi kesedaran yang mahu diperjuangkan, Dr Naz terus mahu menyedarkan lebih ramai pencinta haiwan terutama di daerah Johor Bharu, Johor dan yang berdekatan untuk berkunjung ke kliniknya.

“Selain berkongsi info penting dan tips, jika ada sebarang kesulitan membabitkan haiwan peliharaan, jemput sahaja datang ke klinik CT Vet yang terletak dii Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

“Selain itu, saya juga ada mewujudkan akaun media sosial seperti Instagram @klinik_haiwan_ct_vet, Facebook (klinik haiwan CT Vet) dan di aplikasi telegram sahabatctvet.

“Paling utama, hasrat saya ialah agar dapat terus mendidik tentang pentingnya menjaga haiwan dengan cara betul. Usah anggap kucing atau anjing ini cuma binatang semata mata. Lagi banyak mendidik, lagi besar ruang kita bantu menjaga haiwan dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya