Suami tak larang, saya yang pilih jaga anak-anak - Suki Low - Utusan Malaysia

Suami tak larang, saya yang pilih jaga anak-anak – Suki Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agak lama tidak muncul dan aktif dalam bidang seni, penyanyi, Suki Low, 30, mendedahkan perkara itu berlaku bukan kerana dirinya merajuk dengan industri sehingga akhirnya dia membuat keputusan untuk mengundur diri.

Tetapi, kata Suki, fokusnya sudah beralih kepada fasa baharu setelah mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu.

“Saya sedar, memang ramai yang fikir saya undur diri dalam dunia seni. Mungkin sebab mereka lama tak nampak saya di televisyen atau buat persembahan besar.

“Tapi sebenarnya memang saya masih lagi menyanyi. Cuma tak aktif macam dulu, sebab saya sekarang fokus pada komitmen lain iaitu tanggungjawab rumah tangga.

“Lebih-lebih lagi kini saya dah jadi ibu kepada tiga orang anak. Jadi tumpuan itu perlu lebih terarah kepada mereka,”katanya.

Suki berkata demikian semasa ditemui di sidang media pengumuman barisan peserta program realiti Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

Selain itu, kata Juara program realiti One In A Million ini, dia juga memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga bukan kerana suami melarang untuk aktif menyanyi tetapi sebaliknya kerana kemahuannya sendiri.

“Bagi ibu bapa, anak-anak di mata mereka akan cepat melalui proses tumbesaran. Jadi, sebagai ibu, saya tak nak terlepas momen-momen itu untuk melihat mereka membesar di depan mata.

“Lagipun,saya seronok dan bahagia saja menguruskan anak-anak, terutama ketika pandemik di mana sepanjang masa saya serta suami dapat meluangkan masa bersama mereka di rumah,” katanya.

Untuk rekod, Suki mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dan eksekutif muzik, Jeremy pada tahun 2012.

Hasil perkahwinan, penyanyi ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ethan, 7, Eli, 7, dan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 11 bulan.

Sementara itu, menerusi program GV8, ia akan menyaksikan Suki berentap dengan 12 lagi pesaing hebat di pentas tersebut.

Mereka ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk, Aliff Aziz, Adibah Noor, Ani Maiyuni, Nikki, Upiak Isil.

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

Konsert mingguan GV8 pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya