KETIKA berusia 18 tahun, Shreya Siddanagowda terlibat dalam satu kemalangan ngeri.
Siapa sangka insiden hitam berlaku pada tahun 2016 itu, mengubah sepenuhnya kehidupan wanita dari Pune, India ini.
Nahas mengerikan itu menghancurkan kedua-dua belah tangan Shreya sehingga tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.
Meskipun ditimpa musibah kudung kedua-dua tangannya untuk lebih setahun dan trauma dengan kesan kemalangan, ia tidak langsung memutuskan harapan pelajar kejuruteraan kimia dari Manipal Institute of Technology itu.
Apabila Shreya ditawarkan peluang untuk mendapat sepasang tangan baharu, dia langsung tidak berfikir dua kali dan terus bersetuju.
Walaupun tangan baharu itu milik seorang lelaki berkulit gelap, bersaiz besar dan berbulu lebat.
Kini setelah sudah beberapa tahun menjalani pembedahan transplan, tangan baharu Shreya bukan sahaja menjadi kecil malah bertukar warna sehingga menjadi sama dengan tona warna kulit badannya.
Shreya merupakan salah seorang daripada sejumlah kecil individu yang menjalani pemindahan kedua-dua tangan.
Lapor The Indian Express, pembedahan Shreya merupakan pemindahan kedua-dua belah tangan yang pertama dilaksanakan di Asia dan merupakan pemindahan tangan antara jantina pertama di benua itu.
“Saya adalah individu pertama yang menerima organ (tangan) daripada penderma lelaki,” kata Shreya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook Yayasan Mohan.
Berdasarkan data dari John Hopkins Medicine, kira-kira 200 individu di dunia menjalani pembedahan pemindahan tangan.
Tragedi mengerikan
Shreya merupakan anak tunggal kepada pasangan Suma Nuggihalli dan Fakirgowda Siddnagowder yang bekerja sebagai pengurus kanan di Tata Motors di Pune.
Shreya terlibat dalam kemalangan bas ketika dalam perjalanan pulang dari Pune ke kolej, berhampiran Mangalore.
Bantuan kecemasan yang lambat sampai menyebabkan kedua-dua tangan Shreya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong dari paras siku ke bawah.
Penderma organ sesuai
Kes pembedahan pemindahan kedua-dua tangan pertama yang berjaya di India dilakukan di Institut Sains Perubatan Amrita di selatan Kerala.
Di hospital sama, Shreya juga menjalani pembedahan pemindahan tangan.
Cabaran paling besar dihadapi Shreya adalah mencari penderma organ yang sesuai.
Hakikatnya, ramai warga India sangat keberatan untuk menderma organ insan tersayang mereka selepas mereka meninggal dunia.
“Biasanya anda perlu menunggu lama untuk mendapatkan organ dari penderma yang sesuai.
“Akibatnya, ada kalangan mereka yang sangat terdesak sehingga sanggup menerima organ daripada jantina berbeza,” kata Dr. Subramania Iyer.
Dr. Subramania mengetuai pasukan doktor yang menjalankan pembedahan terhadap Shreya.
Beliau juga adalah Ketua Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di Institut Sains Perubatan Amrita.
Akhirnya, hospital itu berjaya memperoleh sepasang tangan lelaki yang didermakan pada Ogos 2017.
Shreya dan keluarganya juga menerima tawaran tersebut.
Sachin derma tangan
Seorang pelajar dari Sekolah Rajagiri Ernakulam dilaporkan menjadi penderma organ kepada Shreya.
Sachin, 20, mengalami cedera parah di bahagian kepala selepas terlibat dalam satu nahas membabitkan motosikal.
Sachin disahkan kematian otak dan ibu bapanya bersetuju untuk menyumbang tangan anak mereka dan bahagian organ dalaman lain.
Ketika itu, Shreya yang kehilangan kedua-dua tangannya menunggu penderma organ yang sesuai.
Pembedahan selama 13 jam
Pasukan pembedahan terdiri daripada 20 pakar bedah dan 16 pakar bius bertugas pada ketika itu.
Dr. Subramania mengakui mengalami banyak kesukaran semasa melakukan pembedahan tersebut.
“Kami terpaksa mengenal pasti secara tepat dan menyambung pelbagai saraf, otot, tendon dan arteri.
“Malah, dalam kes Shreya, pembedahan pemindahan membabitkan kedua-dua tangan jarang berlaku. Hanya sebilangan kecil transplan dilakukan di dunia,” katanya seperti dipetik The New Indian Express.
Kata Dr. Subramania, tangan penderma dicantumkan pada tulang sebelum tendon, saluran darah dan kulit dijahit secara bersama.
Meskipun pembedahan Shreya berjaya namun dia terpaksa menjalani rawatan susulan seumur hidup agar tubuh badannya tidak menolak organ baharu yang diterima.
Menurut seorang pakar bedah plastik, Dr. Mohit Sharma, Shreya menjalani pelbagai rawatan selepas pembedahan antaranya latihan pergerakan untuk jari, bawah lengan, pergelangan tangan dan bahunya.
Proses pemulihan
Proses pemulihan merupakan rawatan paling penting dalam kes pembedahan Shreya.
Selepas pembedahan, Shreya dan keluarganya tinggal berdekatan hospital untuk menjalani pemeriksaan rutin dan sesi pemulihan.
“Anak saya berasa lebih selesa dengan doktor di sini. Mereka mengetahui sejarah perubatannya dan ia sangat membantu dalam proses pemulihannya,” kata ibu Shreya, Suma.
Selepas pembedahan itu, Shreya terpaksa menjalani sesi fisioterapi lebih setahun untuk tubuh badan dan otaknya bagi membiasakan dirinya dengan tangan baharu.
Lebih feminin
Tangan yang diperoleh daripada penderma lelaki pada mulanya besar dan tegap.
Bagaimanapun, selepas dicantumkan pada lengan Shreya ia menjadi kecil dan kelihatan lebih feminin.
“Selepas proses cantuman, saraf mula menghantar isyarat dan berfungsi mengikut keperluan badan.
“Otot-otot di tangan mungkin menyesuaikan diri dengan tubuh badan wanita itu,” kata ahli fisioterapi, Ketaki Doke.
Perubahan warna
Menurut Dr. Subramania, sepanjang proses pemulihan, perkara paling aneh berlaku adalah tangan baharu Shreya mula berubah warna sehingga sesuai dengan warna kulit asalnya.
Namun, ia agak sukar untuk menentukan punca perubahan warna itu.
“Ia mungkin disebabkan oleh Melanocyte-stimulating hormone (MSH), sejenis hormon dikawal otak yang merangsang pengeluaran melanin.
“Kami masih tertanya-tanya apakah tahap MSH dapat mempengaruhi warna kulit,” katanya.
Seorang pakar dermatologi terkemuka di New Delhi, Dr. Shehla Agarwal berkata, ketiadaan testosteron menjelaskan punca tangan penderma menjadi kurang berbulu.
Dr. Shehla turut bersetuju perubahan hormon yang lain juga mungkin menjelaskan perubahan warna tangan.
Namun, doktor pakar itu juga memetik beberapa faktor lain yang berpotensi.
“Lelaki penderma itu mungkin terdedah kepada lebih banyak cahaya matahari dan melakukan aktiviti fizikal berbanding wanita tersebut,” katanya.
Sinar kehidupan
Shreya sangat menyukai transformasi yang dilakukan terhadapnya.
Bagi Shreya, pembedahan pemindahan tangan amat bermakna dalam kehidupannya.
“Saya berasa lega kecacatan yang dialami hanya bersifat sementara.
“Pembedahan pemindahan tangan ini membantu saya menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya.