Segan mahu ambil bantuan zakat, ada orang lebih layak - Bad Indigo - Utusan Malaysia

Segan mahu ambil bantuan zakat, ada orang lebih layak – Bad Indigo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Jauh sekali mahu menyombong, penyanyi dan anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad, 46, mengaku terbit rasa malu dan segan untuk menerima bantuan zakat daripada badan-badan kebajikan tertentu walaupun layak berdasarkan statusnya kini.

Menurut Bad, sejak diuji jatuh sakit dan kini memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), dia tidak sanggup untuk menerima bantuan kerana memikirkan terdapat ramai lagi golongan asnaf atau orang lain yang lebih memerlukan.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor ada memaklumkan kepada saya dan mahu membantu. Tetapi buat masa ini, saya tak mahu ambil lagi bantuan daripada kedua-duanya sebab masih mahu mencuba.

“Saya segan nak ambil duit yang tentunya ada asnaf lain lebih memerlukan. Saya ada luahkan perkara ini pada pegawai yang bertugas. Tetapi mereka ada kata, saya ini layak terima.

“Katanya, zakat bukan hanya kepada fakir miskin sahaja, ada banyak kategori. Dia beritahu supaya saya jangan risau, tetapi tak mengapalah. Jika saya sudah bersedia atau tiada langsung cara lain untuk hidup, mungkin saya akan hubungi mereka. InsyaAllah,”katanya.

Bad berkata demikian semasa ditemui di konsert Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Ahad lalu.

Turut hadir menemani Bad pada malam tersebut ialah isterinya, Ashira, yang juga merupakan bekas peserta program GV untuk musim yang ketujuh (GV7).

Berkongsi lanjut mengenai perkembangan kesihatannya, kata Bad, dia kini masih perlu mendapatkan rawatan di hospital secara berkala bagi membersihkan luka di kaki kiri selepas menjalani pembedahan membuang kesemua lima jari kakinya akibat diabetes.

“Lima jari kaki kiri telah dibuang dalam proses pembedahan yang dilakukan secara berperingkat iaitu pada bulan Januari, Mac dan September lalu. Sejak keluar dari hospital awal tahun lalu lagi saya memang kena guna ‘walker’ untuk bantu pergerakan.

“Paling susah nak urus diri adalah dalam tandas. Tapi nak tak nak, kena buat juga. Saya juga uruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan isteri. Begitu juga kalau nak ke hospital untuk rawatan berkala itu, saya akan bergerak dan pandu kereta sendiri,”katanya.

Menurut Bad, dia enggan terlalu bergantung hidup dengan orang lain walaupun isteri sendiri kerana khuatir terlalu selesa jika berterusan dalam keadaan itu.

“Kecuali memasak saja, Shira akan buatkan sebab saya tak boleh berdiri lama. Selagi boleh, memang saya akan buat sendiri sebab tak mahu ajar diri selalu mengharapkan orang. Bayangkan kalau orang itu ada kerja lain, atau tiada, macam mana?

“Tak akan nak duduk diam saja tak buat apa-apa, tak boleh urus diri? Selagi boleh buat, saya akan buat.Tak mengapa.Saya kena juga kuatkan semangat. Setiap hari saya panjatkan kesyukuran kerana di sebalik kepayahan, sekurang-kurangnya Dia masih pinjamkan nyawa lagi buat saya.

“Ini semua bukan bala atau musibah.Ini adalah peringatan agar kita sebagai manusia dan hamba, sentiasa kembali mengingatiNya. Kalau saya tak fikir begitu, mungkin sudah lama saya berterusan murung,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya