Rupanya objek keras dan tajam itu batu nisan - Daphne Iking - Utusan Malaysia

Rupanya objek keras dan tajam itu batu nisan – Daphne Iking

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara jelita, Daphne Iking,43, tidak menyangka objek keras dan tajam yang dihempap berulang kali olehnya semasa menjalani sebuah babak aksi di set penggambaran filem Belukar adalah batu nisan.

Perkara itu dikongsikan oleh Daphne menerusi satu hantaran yang dibuat olehnya di Instagram semalam di saat mengenangkan kejadian semasa penggambaran filem tersebut yang dilakukan pada tahun 2009.

“Saya ditawarkan watak utama sebagai Eva dalam filem Belukar. Masih saya ingat, bagaimana aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh saya termasuk terjun ke laut dari jeti.

“Untuk babak itu, kru-kru telah meletakkan sebuah tilam yang ditutupi dengan daun dan tanah untuk mengurangkan rasa sakit sewaktu saya melakukan adegan jatuh akibat ditembak.

“Tapi malangnya, tilam itu asyik kelihatan di kamera. Jadi, pengarah, Jason, buat keputusan untuk ketepikan tilam itu dan mengarahkan bahagian prop untuk melembutkan permukaan tanah di kawasan itu,”katanya.

Namun, kata Daphne, dia berasa hairan mengapa setiap kali mengulangi babak dirinya terjatuh di kawasan itu kepalanya terasa begitu sakit sedangkan kawasan itu sudah dibersihkan.

“Kepala saya asyik terkena pada permukaan yang keras. Macam perempuan gila, saya pun tengkinglah kru-kru disitu dan marahlah sambil mengatakan mereka ini tak bersihkan betul-betulkah?

“Pelik kerana mereka kata sudah berulang kali bersihkan kawasan itu tetapi saya tetap juga terhempap atas objek yang keras dan tajam sebelum kemudiannya benar-benar mengamuk dan marah dengan pasukan,”katanya.

Perkara tersebut, tambah Daphne, telah membuatkan seluruh pasukan berasa kecewa dan jengkel terhadap dirinya sehingga tiada sesiapa mahu berbual atau menatap wajahnya.

“Mereka nampak sangat marah. Ada juga yang macam takut. Pendek kata, tak pernah saya rasa macam tak diingini dalam hidup saya. Akhirnya, jurusolek beritahu sebab apa. Saya, langsung tidak ingat apa yang berlaku semalamnya.

“Saya minta maaf dengan semua pihak. Kemudian, kru menunjukkan beberapa rakaman gambar dan apabila dilihat secara dekat, boleh nampak bayangan menyeramkan batu nisan di tempat yang sama saya jatuh.

“Bukan satu, tapi enam!”katanya.

Menurut Daphne, dia dan pengurus lokasi kemudiannya mendapat maklumat daripada penduduk sekitar bahawa lokasi penggambaran yang dilakukan itu merupakan sebuah kawasan tanah perkuburan yang tidak didaftarkan.

Menerusi penggambaran filem itu juga kata Daphne, dia mendapat ‘hadiah’ bukan sahaja lebam-lebam pada tubuh badan tetapi juga beberapa kecederaan di bahagian kepala, leher dan bahu.

Dalam pada itu, kata pelakon ini, dia juga tidak menolak berasa bangga kerana menerusi filem Belukar dan watak sebagai Eva, dia berjaya merangkul Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23.

“Berbaloi terjun dalam laut, kena tampar dan ditendang sana sini dan tentunya, cedera di bahagian kepala. Terima kasih untuk memori ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya