Allah menciptakan Rasulullah SAW sebagai makhluk paling mulia yang pernah diciptakan oleh-Nya. Semestinya makhluk termulia akan memiliki kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Pelbagai karangan para ulama telah dihasilkan dalam memperinci kelebihan-kelebihan Nabi Muhammad SAW.
Antaranya, kitab al-Khosois al-Kubro karangan al-Imam al-Suyutiyy yang menyatakan pelbagai kelebihan yang antaranya seperti berikut:
Kenabian Rasulullah SAW Sebelum Kenabian Para Nabi Yang Lain
Sekalipun Rasulullah SAW adalah merupakan rasul yang terakhir sekali diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia. Namun dari sudut kenabian, baginda adalah nabi yang paling awal dinobatkan oleh Allah dengan kenabian.
Al-Imam al-Tirmidzi meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, beliau telah berkata: Mereka telah berkata: Wahai Rasulullah. Bilakah kenabian telah menjadi wajib untuk anda? Baginda telah bersabda: “(Kenabian sudah dianugerahkan kepada saya) dalam keadaan (Nabi) Adam di antara ruh dan jasad”.
Setiap nabi beriman dengan NABI SAW
Semua nabi yang hidup sebelum zaman kebangkitan Rasulullah SAW telah diminta khusus oleh Allah untuk beriman dengan Rasulullah SAW.
Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “(Ingatlah) tatkala Allah telah mengambil perjanjian dengan para nabi: Sekiranya Aku telah memberikan anda semua daripada kitab dan hikmah kemudian seorang rasul telah datang kepada kamu semua yang membenarkan apa yang ada bersama-sama dengan anda semua, anda semua benar-benar beriman kepada baginda dan anda semua benar-benar membantu baginda. Dia telah berfirman: Adakah anda semua telah memperakui dan (adakah) anda semua telah mengambil perjanjian-Ku atas (perkara) itu? Mereka telah berkata: Kami telah memperakui. Dia telah berfirman: Maka anda semua bersaksilah dan Aku bersama-sama anda semua daripada mereka yang bersaksi”. (ali-Imran: 81)
Maka setiap nabi telah berjanji setia untuk beriman kepada Rasulullah SAW dan mereka berjanji untuk membantu baginda jika Allah mentakdirkan Rasulullah SAW muncul pada zaman mereka.
Keistimewaan yang begitu agung ini tidak pernah berlaku kepada para nabi dan rasul sebelum baginda SAW.
Rasulullah SAW Bernasab Mulia
Allah telah memuliakan Rasulullah SAW dengan menjadikan baginda daripada zuriat yang mulia. Ini supaya tidak akan ada sama sekali manusia bermulut jahat yang dapat merendahkan baginda dari sudut keturunan.
Ini sebagaimana hadis yang beraksud: “Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah daripada anak (Nabi) Ismail. Dia telah memilih Quraisy daripada [keturunan] Kinanah. Dia telah memilih daripada Quraish akan anak-anak Hasyim dan Dia telah memilihku daripada anak-anak Hasyim” (Riwayat Muslim).
Keindahan jasmani Nabi SAW
Bukan akhlak Rasulullah SAW sahaja yang sangat tinggi nilainya, Allah SWT juga menjadikan baginda seorang yang tidak ada sebarang cacat cela dari sudut jasad dan rupa paras baginda.
Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Abu Ishaq, beliau telah berkata: Saya telah mendengar al-Baro berkata: Rasulullah SAW adalah seindah-indah manusia dari sudut wajah dan seindah-indah mereka dari sudut tubuh badan. Baginda bukanlah seorang yang tinggi berlebihan dan baginda juga tidaklah rendah. (Riwayat Muslim)
Mukjizat Kekal
Dalam sebuah hadis yang bermaksud: daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada daripada (kalangan) para nabi seorang nabi pun melainkan baginda telah diberikan daripada tanda-tanda (kebenaran baginda) sesuatu (mukjizat) yang seperti baginda yang manusia (pada zaman baginda) telah beriman disebabkan tanda itu. Sesungguhnya hanya sanya saya telah diberi wahyu yang Allah SWT mewahyukannya kepada saya. Saya mengharapkan akan menjadi yang paling banyak pengikut berbanding dengan mereka (para nabi) pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)
Menurut para ulama, Nabi SAW dalam hadis ini ingin menyatakan para nabi sebelum baginda telah dikurniakan mukjizat yang tidak kekal yang hanya dapat dilihat oleh mereka yang sezaman dengan nabi tersebut.
Namun Allah telah menganugerahkan kepada Rasulullah SAW mukjizat iaitu ayat-ayat al-Quran yang akan dapat ditatap dan ditemui keajaibannya sehingga kiamat.
Antara bukti al-Quran itu kalam Allah dan bukannya rekaan kalam manusia adalah cabaran Allah ke atas golongan musyrikin Mekah yang sangat terkenal dengan ketinggian nilai bahasa Arab untuk mencipta ayat untuk menandingi ketinggian nilai bahasa ayat-ayat al-Quran.
Cabaran itu gagal disahut oleh mereka bahkan oleh sesiapapun sehingga ke hari ini.
Selain itu kebenaran penurunan al-Quran kepada Rasulullah telah disaksikan sendiri oleh para sahabat baginda yang melihat perubahan fizikal Rasulullah SAW bahkan pernah seekor unta yang ditunggangi Rasulullah SAW terduduk di atas tanah. Ini berlaku semasa wahyu turun ke atas baginda disebabkan beratnya wahyu tersebut.
Ia dijelaskan dalam hadis Nabi SAW daripada Aisyah bahawa sesungguhnya beliau berkata: Rasulullah SAW benar-benar pernah menerima wahyu dalam keadaan baginda [ketika itu sedang berada] di atas unta tunggangan baginda lalu unta itu telah terduduk sehingga meletakkan lehernya ke tanah. (Riwayat Ahmad)
Panggilan Allah ke atas Nabi SAW
Perbezaan ini jelas ketara di dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa baginda SAW adalah ciptaan Allah yang paling disayangi-Nya.
Sebagai contoh, Allah telah memanggil baginda yang bermaksud: Wahai sang Rasul. Sampaikanlah [kepada umat anda] apa sahaja yang telah diturunkan kepada anda daripada tuhan anda. (al-Maidah: 67)
Adapun seruan Allah kepada para nabi yang lain di dalam al-Quran terus dengan menyebut nama para nabi yang mulia tersebut. Ia sebagaimana Allah SWT memanggil Nabi Adam dengan firman-Nya yang bermaksud: “Kami telah berfirman: Wahai Adam. Tinggallah anda dan isteri anda di syurga”. (al-Baqarah: 35)
Penutup
Apa yang saya nyatakan di sini hanya sekelumit kecil kelebihan-kelebihan Nabi SAW yang semuanya menunjukkan betapa tinggi dan mulianya Rasulullah SAW di sisi Allah SWT.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.