PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti media sosial, Bella Zahir mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa sihir daripada pihak yang berniat khianat terhadap dirinya.
Menerusi ciapan di Twitter, Bella berkongsi dirinya pernah disantau selepas seorang pengguna Twitter memuat naik video pendek yang memaparkan salah satu babak dalam drama siri terbaharu, Sihir.
Menurutnya, santau tersebut didakwa telah dihantar melalui makanan yang diberikan kepadanya.
“Saya pernah kena santau melalui makanan. Bertahun juga berubat.
“Sekarang ini bila orang menghantar makanan, ibu saya akan selalu ingatkan untuk membaca doa dahulu. Risau jadi lagi,” responnya menerusi ciapan di Twitter.
Justeru itu, Bella berkesempatan memberi peringatan buat dirinya dan orang ramai supaya lebih berhati-hati bila menerima makanan selain membaca doa dahulu sebelum makan.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet menzahirkan terkejut dan simpati selain mendoakan yang baik-baik sahaja buat pengacara rancangan Cerita Dapur Viral itu.