Pentas fesyen MARA angkat bakat muda - Utusan Malaysia

Pentas fesyen MARA angkat bakat muda

Azizah Muhd. Dun (tiga dari kanan) bersama Syahir Hamdan dan Farra Fahsya Reena Sanuse dalam MARA In Fashion Ready To Wear (MIF RTW) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia fesyen tempatan yang sebelum ini lesu berikutan pandemik Covid-19, bertukar mekar, meriah dan ceria.

Keceriaan itu terserlah menerusi MARA In Fashion Ready To Wear (MIF RTW). Acara berlangsung di ibu kota baru-baru ini. Ia julung kali menghimpunkan kreativiti 20 pereka muda yang tampil dengan sentuhan dan identiti masing-masing yang cukup memukau.

Hadirin bagaikan terpaku apabila menyaksikan satu persatu helaian dipersembahkan model.

Pemenang kategori Pereka Muda Terbaik, Farra Fahsya Reena Sanuse menawan hati juri dengan menampilkan koleksi baju moden berinspirasi Kebaya Melayu Panjang.

Beliau sewaktu ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, baju tradisional Melayu itu diangkat sebagai tema berikutan minatnya yang mahu mengetengahkan nilai kemelayuan dalam kehidupan moden.

Rekaan smart-casual untuk wanita itu masih mengekalkan ciri tradisional namun kekal relevan dengan stail pada masa kini.

“Saya tidak sangka menang. Namun saya amat bersyukur kerana diberi peluang di pentas ini. Saya sememangnya amat meminati jurusan reka bentuk,” kata lepasan Sarjana bidang Reka Bentuk dan Teknologi itu.

Farra bersama koleksi rekaannya yang mengangkat beliau menjadi Pereka Muda Terbaik MARA In Fashion Ready To Wear (MIF RTW).

Acara itu menampilkan juri profesional iaitu FiziWoo, Hatta Dolmat, Rico Rinaldi serta Rizman Ruzaini.

MIF RTW mengangkat ‘Identiti’ sebagai tema acara. Penganjuran yang pertama kali diadakan secara hibrid itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pereka muda untuk mempamerkan signature style masing-masing.

Ia juga dilihat sebagai usaha menempatkan koleksi dan jenama untuk dikenali dalam pasaran dan bersaing dengan nama besar lain dalam industri fesyen tempatan dan luar negara.

Farra yang merupakan pelopor jenama Farra Sanuse, bersyukur kerana keluarganya sentiasa memberi sokongan sejak dia mula berkecimpung dalam arena fesyen.

“Keluarga saya adalah support system terbesar saya. Daripada awal mereka sentiasa memberikan semangat untuk saya terus melebarkan sayap dalam industri fesyen,” kata gadis yang berusia 25 tahun ini.

Kesemua peserta digilap menerusi empat fasa latihan keusahawanan yang perlu mereka tempuhi.

Antaranya aspek dalam perniagaan industri fesyen dan bimbingan secara telus oleh pakar dalam bidang berkaitan seperti Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk, Faizal Hamid dan pereka terkemuka negara, Fiziwoo.

Pemilihan usahawan fesyen mengambil bahagian dalam MIF RTW 2021/2022 berdasarkan ciri-ciri tertentu antaranya mereka yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun, Bumiputera dan warganegara Malaysia.

Mereka juga akan menerima kemudahan keusahawanan lain seperti pembiayaan dan premis perniagaan di seluruh negara.

BARISAN HADAPAN

Menghargai golongan barisan hadapan yang berjuang menentang Covid-19 mencetuskan inspirasi kepada Syahir Hamdan untuk tampil dengan koleksi rekaan baju kasual bagi kaum adam.

Idea memukau itu membolehkan dirinya muncul sebagai pemenang Kategori Koleksi Terbaik.

“Inspirasi saya keba­nyakan daripada front­liners. Ada rekaan saya yang direka berdasarkan polis dan pekerja barisan hadapan yang lain,” katanya.

Menghargai golongan barisan hadapan mencetuskan inspirasi buat Syahir Hamdan untuk tampil dengan koleksi kasual untuk lelaki.

Pengasas jenama Neonate Clothing itu mengakui mengalami kesukaran dalam menyiapkan rekaan kerana pergerakan menjadi terhad ekoran sekatan ketika pandemik Covid-19.

Bukan itu sahaja, Syahir akui mengalami tekanan susulan penguncupan ekonomi negara yang sekali gus memberi impak besar kepada bisnesnya dalam industri fesyen.

Menyentuh mengenai soal kerja, Shahir berkata, dia tidak pernah merasakan dirinya dalam satu pertandingan kerana kesemua 20 bakat muda itu telah bekerjasama bagi menjayakan program itu.

“Kami tidak bersikap kompetitif dengan satu sama lain. Kami saling membantu.

“Kemenangan ini sudah tentu sangat bermakna buat saya namun lebih saya hargai adalah pengalaman kami semua yang mempunyai hubungan yang akrab,” jelasnya.

BAKAT Muda..20 pereka fesyen muda yang menyertai MARA in Fashion Ready To Wear, baru-baru ini.

PLATFORM ANAK MUDA

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berharap MIF RTW boleh dijadikan platform kepada anak muda dalam menjadi titik punca jenama negara berkembang ke peringkat seterusnya.

Katanya, ia hanyalah suatu permulaan yang akan membuka langkah lebih besar untuk kerjaya pereka muda tempatan.

“Saya berharap pentas ini akan menjadi titik permulaan untuk semua bakat ini memperkenalkan jenama serta produknya untuk dikenali ke peringkat lebih tinggi.

“Ini boleh menjadikan produk itu kelak mudah menembusi pasaran antarabangsa serta berupaya membina rangkaian yang akan membantu setiap bakat muda ini,” katanya dalam ucapan perasmian acara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya