Mahu jadikan PJ aman dengan kepolisan moden - Utusan Malaysia

Mahu jadikan PJ aman dengan kepolisan moden

MOHAMAD Fakhrudin Abdul Hamid melakukan lawatan ke Sek. Jenis Kebangsaan Tamil Vivekananda, Brickfields baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berkhidmat sebagai pegawai polis sejak 25 tahun lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, 47, berkata, minatnya dalam kerjaya ini bermula sejak di bangku sekolah.

“Saya berminat menyertai badan beruniform polis kerana pasukan polis di sekolah saya nampak amat segak dan berdisiplin. Ia membuatkan saya tertarik terutamanya unit trafik yang bertugas semasa di sekolah menengah.

“Sekolah saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar mempunyai unit trafik dan kadang-kadang unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan bertugas.

“Saya perhatikan mereka nampak sangat kemas dan akan membantu pelajar melintas jalan serta memberi salam kepada pelajar masa pergi dan balik sekolah.

“Gaya, personaliti dan disiplin mereka tonjolkan amat menarik minat saya. Sebelum ini saya bercita-cita menjadi pegawai di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Penukaran minat itu kemudiannya mengejutkan keluarga Fakhrudin, memandangkan hanya dia minat menyertai badan beruniform tersebut.

Walaupun begitu, mereka memberi sokongan padu apabila dia menyuarakan hasrat ingin menjadi pegawai polis .

“Tiada orang lain dalam keluarga yang berminat menjadi polis. Jadi mereka amat terkejut apabila saya memberitahu mereka akan minat saya ini.

“Semasa temuduga, mereka tanya, kenapa minat untuk masuk polis. Saya jawab tertarik dengan pasukan trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru,” kongsinya tersenyum mengingatkan insiden tersebut.

MOHAMAD FAKHRUDIN ABDUL HAMID

Selesai sesi temuduga, Fakhrudin menjadi popular di IPD Johor Bahru kerana minatnya kepada unit trafik IPD tersebut selain lulus temuduga pada hari yang sama.

Pada 1 April 1995, bermulalah perjalanan hidup sebagai pelatih di akademi polis, meninggalkan keluarga untuk setahun bagi merealisasikan impiannya.

AKADEMI POLIS

Dengan sebelah kaki sudah masuk ke alam pelatih polis dan perasaan rindu kepada keluarga, Fakhrudin memulakan perjalanan sebagai pelatih.

“Pada awalnya, saya susah untuk menyesuaikan diri. Tiga bulan pertama adalah tempoh sukar, saya terlalu rindu keluarga dan rindu untuk berjalan-jalan.

“Kami perlu bangun awal pagi kerana ada kelas bersenam. Pukul 8 pagi ada kelas polis dan kelas undang-undang. Latihan bermula pukul 2 petang hingga 4.30 petang.

“Setiap hari kecuali hujung minggu, pelatih akan berkumpul di padang kawad, latihan seperti tekan-tubi dan berlari adalah wajib.

“Habis badan saya melecur dan mengelupas hitam sebab badan tak biasa duduk dalam panas terik,” kongsinya sambil mengingati zaman muda.

Selain berlatih meningkatkan kekuatan fizikal, pelatih juga diajar menahan marah dan mengawal stres. Pelatih perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dan sedia membantu orang awam dalam tekanan mental tinggi serta sentiasa bertenang dalam apa jua keadaan.

“Di akademi, kami dilatih menghadapi semua situasi dan jurulatih juga melatih dan mengubah sikap kami untuk berdisiplin atau berkarakter sebagai polis. Sebagai polis dan pelatih polis, kita perlu bersikap lain daripada orang awam.

“Kita perlu sentiasa berada dalam keadaan sedia membantu, berdisiplin dan pandai sesuaikan dalam apa jua keadaan. Itulah intipati seorang pegawai polis,” tegasnya.

Mengenai kenangan manis sebagai pelatih, Fakhrudin tertawa. Katanya, kenangan manis adalah para pelatih akan mencuri minum air paip semasa sesi latihan kawad atau bersenam waktu tengah hari.

“Kalau kita minum air paip, kita akan batuk. Jadi malam-malam sebelum tidur, awak boleh dengar ada seseorang batuk. Maksudnya dia curi minum air paip semasa latihan tengah hari.

“Ada satu hari itu, kerana cuaca siang panas terik, ramai pelatih pergi curi minum air paip dan malam itu satu bilik batuk sebelum tidur. Itu menjadi kenangan saya tak boleh lupakan dari zaman saya sebagai pelatih,” katanya.

TUGASAN ISTANA

Mengimbau kenangan, Fakhrudin berkata, antara peristiwa tidak boleh dilupakan adalah ketika bertugas di istana sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

“Saya mula bertugas sebagai Ketua Pegawai Keselamatan kepada Tuanku pada 2009 sehingga 2018 di istana Kedah. Kenangan yang saya akan ingat hingga akhir hayat saya.

“Pada 2009 sehingga 2011, saya bertugas di Istana Anak Bukit, Kedah, kemudian saya pergi bertugas di Istana Negara pada 2012 sehingga 2016, sebagai Ketua Keselamatan bagi Agong dan Permaisuri Kedah,” katanya tersenyum.

Semasa bertugas sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Sultan, Fakhrudin perlu belajar prosedur menjaga sultan, prosedur istana, dan juga bahasa istana untuk bercakap dengan Sultan dan Permaisuri.

“Apabila berada dengan Tuanku, kita perlu bercakap menggunakan ayat-ayat yang sedap didengar dan juga cara kita mempersembahkan diri kita sebagai polis kepada Tuanku, ia sangat berbeza dengan percakapan dan tingkah-laku harian kita,” katanya.

Fakhrudin berkata, ada insiden di mana dia menahan seorang lelaki dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada 2013.

“Pada masa itu, Raja Permaisuri berada di dalam kereta dan lelaki tersebut menunggu di tepi jalan, apabila berdekatan dengan tingkap kereta Raja Permasuri, dia menunjukkan isyarat tersebut.

“Apabila saya nampak perkara itu, saya lompat keluar dan terus membuat tangkapan. Saya serahkan lelaki tersebut kepada polis yang bertugas di lapangan terbang dan mengikut kereta Raja Permaisuri,” kongsinya.

Insiden tersebut masih lagi terpahat dalam kenangan Fakhrudin walaupun ia sudah beberapa tahun berlalu.

VISI FAKHRUDIN

“Visi dan misi saya sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ialah mahu penduduk berasa selamat dan aman. Juga mengurangkan ketakutan terhadap jenayah dalam masyarakat kita dan melebihkan diri kita sebagai polis dengan masyarakat,” katanya.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya daripada Senior Asisten Komisoner Nik Ezanee Mohd. Faisal (kiri) pada April 2021.

Beliau berkata, anggota dan pegawai di IPD Petaling Jaya perlu menjadi polis komuniti dan mengadakan komunikasi dua hala antara polis dan penduduk.

Ia supaya kualiti kehidupan di Petaling Jaya meningkat, seperti di mana penduduk Jepun dan sistem ‘Koban’ atau sistem pondok polis di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kawasan Petaling Jaya adalah kawasan bandar dan sistem polis kita perlu mengikut status kawasan tersebut. Kita perlu menyesuaikan diri dan kepolisan moden ini kepada kalangan masyarakat moden, salah satu caranya adalah kita perlu bersama dengan masyarakat.

“Contohnya, membuat penyiasatan kawasan masyarakat, membuat rondaan, menggunakan media sosial untuk memberi amaran dan nasihat, mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan Unit Rondaan Bermotosikal Polis di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) dan membuat tangkapan.

“Dari segi aktif pula adalah penglibatan polis dengan masyarakat dan pasif atau retroactive ialah siasatan dan tangkapan kes jenayah.

“Perkhidmatan kepada masyarakat, dari segi teknologi dan layanan. Mengkaji, mengenal pasti dan perbaikan kelemahan di mana yang boleh, terutamanya pengurusan kita. Pengurusan di IPD Petaling Jaya masih kurang memuaskan, ” katanya.

Fakhrudin berharap IPD Petaling Jaya bertumpu lebih ke arah kepolisan moden dan adanya kerjasama antara polis dan masyarakat, agar daerah itu menjadi kawasan yang aman dan damai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya