KUALA LUMPUR : Program Lagu Cinta Kita musim ketiga telah pun membuka tirai dengan episod pertama 31 Oktober lalu dan berjaya meraih lebih 3 juta penonton mengikut sumber Nielsen.
Siaran langsung yang bermula dari 9.00 malam hingga 10.30 malam itu telah dimulakan dengan persembahan lagu ‘Tentang Kita’ daripada juara Lagu Cinta Kita Musim Kedua, Nadeera dan Khareez.
Pada episod pertama ini, lima pasangan duet diperkenalkan untuk mewarnai pentas pertandingan.
Namun begitu, Ain Edruce dan Kamal Adli selaku pengacara terpaksa mengumumkan hanya tiga pasangan yang berjaya mara ke pusingan seterusnya, iaitu Kay dan Ika (Terlukis Indah), Hariz dan Wanie (Senja Nan Merah) serta Azumi dan Nyna (Memori Berkasih).
Manakala perjalanan Shaszdan dan Xantia menerusi lagu Leave The Door Open serta Dean dan Amanda dengan lagu Haram terpaksa berhenti setakat itu.
Di pusingan awal, 20 peserta dipadankan kepada 10 pasangan duet mengikut pilihan lagu yang sama.
Di awal persembahan, mereka akan menyanyi di dua pentas yang berbeza dan mereka memerlukan undian daripada juri tetap iaitu Ajai dan Mas Idayu supaya pentas mereka dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya. Penilaian persembahan terletak sepenuhnya pada panel juri.
Lagu Cinta Kita musim ketiga kali ini diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Shazreena Mohd Kassim sebagai penerbit eksekutif dan Muhammad Saiful Saharudin sebagai penerbit.
Program ini bersiaran secara langsung pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam dan boleh terus distrim live HD di www tonton.com.my dan Youtube TV3Malaysia Official.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter di @TV3Malaysia dan Instagram @LaguCintaKitaOfficial.
habis