PADA hari ini, sedang berlangsung muzakarah yang sangat penting bagi umat Islam di Malaysia, iaitu Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, penulisan ini bukan untuk mengulas tajuk atau perbincangan di dalam muzakarah tersebut, sebaliknya memberi sedikit pencerahan kepada pembaca betapa pentingnya ilmu falak atau astronomi bagi umat Islam.
Ilmu falak adalah ilm mengkaji cakerawala atau makhluk Allah SWT yang berada di luar angkasa seperti matahari, bulan, bintang, planet serta kaitannya dengan planet kita duduki iaitu bumi.
Umumnya ia sangat diperlukan manusia untuk mengetahui tarikh, waktu, perhitungan tahun, prediksi fenomena astronomi dan sebagainya.
Menurut pandangan Islam pula, ilmu falak adalah termasuk sebagai ilmu yang sangat penting kerana ia berkait dengan ibadah setiap muslim seperti waktu solat, penentuan kiblat, penentuan masuknya 12 bulan hijrah yang baharu, jangkaan terjadinya fenomena gerhana bulan dan matahari dan lain-lain.
Maka, apabila waktu solat tidak dapat diketahui melainkan dengan ilmu falak, ilmu ini menjadi suatu tuntutan bagi mereka. Dalam kaedah Usul al-Fiqh yang terkenal terdapat pernyataan: Sesuatu yang wajib tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu itu, maka sesuatu itu juga menjadi wajib.
Ulama Islam pun sejak awal sudah mencurahkan kepakaran mereka dalam ilmu falak ini seperti Imam al-Khawarizmi (w. setelah 232H/847M). Beliau sudah menterjemah dan melakukan transmisi ilmu falak dan matematik dari Bahasa Latin ke Bahasa Arab dengan beberapa penemuan baru.
Pada abad ke-14 dan 15 Masihi pula, lahir seorang sultan dari Dinasti Timurid bernama Mirza Ulugh Beg (w. 1449M) dan meninggal di Samarkand. Selain sebagai sultan, beliau juga seorang ahli falak tersohor yang berjasa menyusun jadual falak untuk penghitungan imkan al-ru’yah (kemungkinan melihat anak bulan), gerhana matahari dan gerhana bulan.
Jadual ini dikenal dengan Zaij Ulugh Beg. Ia telah diajarkan di pondok di Alam Melayu seperti yang terkandung di dalam kitab Sullam al-Nayroin karangan Kyai Muhammad Mansur al-Betawi (w. 1967M).
Mengetahui kemungkinan terlihatnya anak bulan (hilal) di dalam Islam sangat penting. Ini disebabkan awal bulan hijrah ditentukan dengan melihat anak bulan pada 29 haribulan (hb). Apabila terlihat, maka tarikh 1hb bermula keesokan harinya. Seumpama tidak kelihatan, maka disempurnakan 30 hari.
Ini berdasarkan hadis yang sahih dan tidak dipertikaikan lagi oleh ulama 4 mazhab iaitu baginda SAW bersabda: Berpuasalah kerana melihat anak bulan, berbukalah kerana melihat anak bulan, kalau mendung pada kalian semua maka sempurnakanlah sebanyak 30 hari. (Riwayat Muslim)
Ketika hisab dilakukan dan mengetahui misalnya tidak ada imkan al-ru’yah, maka Imam al-Subki dan Ibn Hajar berpendapat ditolaklah persaksian tersebut. Ini untuk menjaga agar tidak mudah terjadi persaksian palsu atau awan disangka bulan.
Di dalam tradisi falak Alam Melayu pula, tidak dapat untuk dilupakan adalah penggunaan Rubu’ Mujayyab (Sine Quadrant) bagi penetapan waktu solat, kiblat, bahkan penentuan tinggi dan kedalaman sesuatu benda. Alat ini sangat terkenal terutama di pondok-pondok sehinggakan banyak kitab-kitab yang dikarang untuk mengajar murid cara menggunakan alat ini.
Pada hari ini, pihak Jabatan Mufti Negeri juga giat mengadakan kursus (daurah) kepada pelajar-pelajar yang berminat mempelajarinya. Di Negeri Sembilan misalnya, pengajian menggunakan Rubu’ Mujayyab ini diajarkan di Masjid Negeri Negeri Sembilan, Seremban. Jabatan Mufti Negeri Selangor pula mengadakan kursus-kursus tahunan.
Mengetahui kemunculan gerhana bulan dan gerhana matahari dianggap signifikan kerana kesunatan melakukan solat sunat gerhana seperti yang termaktub di dalam berbagai sumber fikah.
Persiapan awal ketika mengetahui jangkaan tersebut dapat memudahkan umat dan pihak berkuasa agama menyediakan segala kemudahan kepada umat.
Walaupun ia hanya sekadar ibadah sunat, kepentingan perkara sunnah adalah ibadah yang dapat membentuk generasi yang berjaya di bumi ini.
Dari segala fakta sejarah dan ilmu ini, menunjukkan walaupun ilmu falak senantiasa menerima perubahan dan pembaharuan, akan tetapi ia senantiasa diusahakan untuk selari dengan ilmu fikah yang menjadi teras mengapa falak ini diperlukan di dalam pengajian Islam.
Ilmu falak tanpa panduan syariat dan fikah,hilang tujuan. Sedangkan ilmu fikah dengan tanpa bantuan ilmu falak maka ia adalah jumud dan menyusahkan umat. Apabila digabungkan kedua-duanya, maka majulah umat Islam dalam ilmu, amal dan tamadun.
Satu perkara perlu Malaysia syukuri adalah kita diberi anugerah Allah SWT dengan negara makmur, hingga memiliki banyak balai cerap dengan fasiliti lengkap dan moden.
Balai cerap inilah menjadi pusat kegiatan mencerap anak bulan, bintang, gerhana dan lain-lain. Dengan berbagai fasiliti ini, sudah waktunya ilmu falak di Malaysia semakin disebarluaskan di seluruh fakulti pengajian Islam Malaysia.
Latihan falak juga sepatutnya semakin diarus perdana agar ia tidak menjadi ilmu yang hanya dikuasai oleh golongan elit akademik sahaja. Bahkan, ilmu falak yang berada di pondok-pondok dengan berbagai sumber turath (warisan) perlu dipertemukan dengan ilmu falak moden. Dua golongan ini sepatutnya duduk bersama, bermuzakarah dan saling berkongsi ilmu agar saling membantu untuk pembangunan ilmu falak di Malaysia.
Pihak berkuasa tidak sepatutnya melihat ilmu semata-mata yang memiliki ‘sijil akademik falak’ sebagai pakar. Sebabnya, beratus ulama falak di pondok-pondok seluruh nusantara, tidak bersijil falak. Namun karya mereka dibaca dan dikaji seluruh lapisan ilmuan falak di dunia. Ulama falak di pondok pula perlu mempelajari hisab moden agar hasil hisabnya tepat dan fakta.
Maka benarlah kata-kata hikmah ulama: al-muhafazah ala al-qadim al-salih wa al-akhzu bi al-jadid al-aslah (menjaga perkara lama yang baik dan mengambil perkara baru yang lebih baik). Selamat bermuzakarah!
—–
• Dr. Ayman Al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM dan Felo Kehormat IKIM