Hutan, gua jiwa Fatimah - Utusan Malaysia

Hutan, gua jiwa Fatimah

MELALUI Projek Perca Kain, Fatimah berpengalaman meneroka lebih 20 gua batu kapur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI pandangan pertama, melihat kepada riak wajah serta keayuan dirinya, pasti ramai beranggapan, Fatimah Abd. Razak,29, seorang gadis yang lemah lembut. Jauh sekali terdedah dengan aktiviti lasak.

Malah, semasa sesi bergambar bersama Utusan Malaysia di hadapan sebuah gua di Bukit Jernih di sini, Fatimah juga kelihatan malu-malu dengan persalinan kebaya hijaunya yang anggun.

Namun siapa sangka, Fatimah atau lebih mesra disapa Yara itu merupakan wanita yang cukup aktif dengan aktiviti lasak. Dia juga banyak menghabiskan masa terluangnya dengan memasuki hutan serta menyelesuri gua-gua batu kapur di sekitar negeri ini.

“Meskipun berhadapan risiko khususnya ketika menyelusuri gua yang sempit dan gelap-gelita namun ia langsung tidak mematahkan semangat saya meneruskan aktiviti tersebut, khususnya pada hujung minggu,” kata Fatimah.

Gadis asal Jejawi, Arau ini adalah wanita tunggal menjadi ahli Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merekod kewujudan gua-gua batu kapur di Perlis. Malah turut aktif melakukan kajian mengenai hidupan liar terutamanya beruk kentoi dan promosi pelancongan negeri.

Sepanjang menyertai PNW setahun lalu melalui projek Perca Kain, Fatimah bersama rakan-rakan di dalam kumpulan itu berpengalaman meneroka lebih 20 gua batu kapur.

BANTU RAKAN
Untuk projek tersebut, Fatimah membantu rakan-rakan lain melakukan kajian daripada segi merekod kewujudan, pemetaan, nilai sejarah dan penemuan pelbagai spesies flora dan fauna di gua-gua tersebut.

Projek Perca Kain yang dilakukan mereka itu juga berjaya menemukan banyak gua batu kapur yang selama ini tidak diketahui dan berisiko menjadi ancaman risiko pencerobohan atau dimusnahkan kerana pembangunan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, kebanyakan masa diluangkan dengan menyelusuri gua serta menikmati keindahan di hutan yang dianggap sebagai cinta hatinya.

MINAT SEJAK KECIL

Katanya, minat terhadap aktiviti lasak tersebut berputik sejak kecil. Keluarganya juga sentiasa memberikan sokongan meskipun sedar aktiviti seperti menyelesuri gua itu lazimnya dilakukan oleh kaum lelaki.

“Dulu masa kecil saya selalu ikut datuk masuk hutan dan sejak itu minat terhadap aktiviti berkenaan semakin mendalam. Pada masa ini, boleh dikatakan setiap minggu saya masuk gua selain waktu-waktu yang terluang.

“Saya memang suka dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti masuk hutan dan gua ini. Meskipun berisiko seperti terjatuh, ancaman haiwan dan sebagainya namun ia tidak menghalang saya meneruskan minat,” katanya.

Aktiviti menyelesuri sesebuah gua katanya, boleh memakan masa antara dua sehingga tiga jam.

KETENANGAN DIRI

“Saya mendapat ketenangan dan kepuasan melihat keindahan alam ini, malah, berada di hutan dan gua lebih memberi ketenangan daripada di bandar-bandar ini,” katanya.

Tambah Fatimah yang menjalankan perniagaan produk kesihatan Figura secara dalam talian, kebanyakkan gua kapur di Perlis mempunyai keunikan dan keindahan tersendiri selain banyak peninggalan bersejarah.

Malah katanya, sebagai contoh di Gua Wang Ulu, Bintong di sini adalah merupakan khazanah bersejarah perlombongan bijih timah yang cukup berkualiti tinggi pada masa dahulu.

Selain itu, katanya, Gua Kurung Batang, Bintong pula pernah merekodkan penemuan kalam semah atau votive tablet yang mempunyai imej avaloketisvara dan bodhisattva serta ayat-ayat suci Buddha.

“Masa menyelesuri Gua Wang Ulu dengan purata laluan seluas satu meter dan panjang anggaran 200 meter itu, keadaan agak sempit, gelap gelita dan laluan ditenggelami air sehingga menjangkau paras leher di dalam gua.

“Saya bersama rakan-rakan turut menemukan pam air dan kotak fius dipercayai antara peralatan yang digunakan untuk aktiviti melombong biji timah. Meskipun berisiko namun saya cukup puas menyelesuri gua-gua ini yang merupakan cabaran dan pengalaman cukup bermakna,” katanya.

Itu antara dua daripada berpuluh-puluh gua batu kapur lain yang mempunyai sejarah warisan geologi yang cukup berharga.

Gua-gua batu kapur di situ kata Fatimah, memiliki nilai sejarah, budaya, arkeologi serta warisan berusia ratusan juta tahun. Justeru ia perlu dipelihara dengan baik.

“Sepanjang setahun ini sahaja, sudah lebih 20 gua saya masuk bersama ahli PNW. Selain melakukan kajian, pemetaan dan rekod, kami juga menemukan tinggalan khazanah atau spesies cukup bernilai serta unik,” katanya.

PUPUK RASA SAYANG

Aktiviti mendekati alam itu sebetulnya boleh memupuk rasa sayang dan menghargai keindahan alam sekitar.

Justeru kata Fatimah, dia berharap masyarakat mempunyai kesedaran menjaga keindahan alam sekitar khususnya di kawasan hutan dan gua-gua dalam negara.

“Keindahan hutan dan gua-gua ini perlu sentiasa dipelihara agar tidak berlaku aktiviti-aktiviti pencerobohan khazanah bernilai ini.

“Bila melihat ‘alam’ terluka (pencerobohan), hati ini saya cukup pedih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya