Dinamik No Good: Punk Gong menjanjikan kelainan dalam keunikan - Utusan Malaysia

Dinamik No Good: Punk Gong menjanjikan kelainan dalam keunikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKAN saya beritahu pendapatnya tempoh hari bahawa artis yang berkarya dengan genre tetap itu biasanya hebat. Alasannya, mereka mampu menampilkan kelainan dalam batas genre tersebut yang kebanyakannya mungkin sudah tepu.

Dalam erti kata lain, genre yang spesifik menjadi kongkongan buat pengkarya. Genre ska ada bunyi tersendiri, jadi kreativiti terbatas dalam ruang bunyian itu. Mungkin kerana itu, U-Wei Haji Shaari pernah kata, muzik sekarang cirinya lakuran (fusion). Ketepuan genre memaksa pengkarya untuk menggabungkan ciri-ciri spesifik beberapa genre, menjadikan muzik zaman ini nirgenre (genreless).

Namun, masih ada juga artis yang melekat kepada genre tertentu. No Good contohnya, dikenali sebagai kugiran punk. Mungkin jalannya lebih mudah untuk kugiran itu tampil unik berbanding kugiran punk lain kerana mereka menerapkan unsur dialek Kelantan dalam lirik. Namun, kelebihan ini tidak boleh kekal lama.

Impak teruja pada keunikan No Good tinggi pada awal kemunculannya tetapi mereka perlu terus menampilkan kelainan untuk kekal relevan. Oleh sebab itu, perkara yang paling saya nantikan dalam album pertama mereka ialah kedinamikan yang dijanjikan.

Punk Gong
Selepas menggegarkan negara dengan kemunculan EP Demo Kawe dua tahun lalu, No Good bakal tampil dengan album pertama mereka. Akan dilancarkan pada 11 November ini, album yang diberi nama Punk Gong itu akan menampilkan kelainan.

Bukan sahaja mereka bereksperimentasi dengan genre, No Good mencabar diri dengan penghasilan lagu yang berentak lebih perlahan dan lirik yang lebih peribadi. Hal ini tidak jelas dilihat dalam Demo Kawe yang kebanyakan lagunya pekat bunyi punk dan liriknya menjurus kepada mesej politik dan sosial.

Abe Yed (vokal/gitar) sebagai penulis lirik utama juga mengakui cabarannya untuk menulis lirik yang lebih peribadi. Punk sendiri dikenali sebagai genre protes yang banyak melibatkan elemen politik jadi pasti sedikit sukar untuk pengkaryanya menghasilkan produk yang lebih peribadi. Berjaya atau tidak, sama-sama kita tunggu album ini nanti.

Suara Kelantan
Saya sering melihat negeri Kelantan sebagai eksentrik atau lebih ekstrem, eksotik. Dari dialek, perwatakan rakyatnya sehingga produk seni tradisionalnya, ada akar mistikal yang menumbuhkan keunikan yang sukar dijelaskan.

Selepas membaca analisis Faisal Tehrani tentang muzik dangdut Kelantan dalam majalah Svara, saya perasan satu lagi ciri unik pada seni Kelantan, iaitu fungsi protesnya. Lapangan dangdut bawah tanah Kelantan membawa suara protes terhadap autoriti agama yang keras di negeri itu.

Mungkin ini jawapan kepada keserasian muzik punk Kelantan yang dibawa No Good. Genre muzik Barat dijalinkan dengan dialek Pantai Timur itu menjadi kerana ditengah-tengahnya ada nilai yang menghubung: suara protes, kritik sinikal dan marah-marah yang nakal.

Selain memperkenalkan dialek dan psike Kelantan, No Good turut membawa suara orang Kelantan melalui muziknya. Lagu-lagu mereka menggambarkan dunia melalui lensa orang Kelantan.

Isu diaspora Kelantan contohnya, dibincangkan secara meluas baik dalam kajian ilmiah mahupun rajutan Twitter. No Good membawa isu sama dengan santai melalui lagu Di Kolupo. Kesedaran politik warga Kelantan yang sering dipersoal anak muda urban juga disampaikan dengan sinis dalam Kito Yak Dulu Lagi.

Tentang digital dan fizikal
Pada 11 November ini, album Punk Gong yang mempunyai 11 lagu akan dilancarkan melalui Bandcamp. Khabarnya akan ada tayangan perdana di Youtube juga.

Melalui Demo Kawe dan sekarang Punk Gong, No Good cuba memupuk penghargaan seni dalam kalangan peminatnya melalui Bandcamp. Di Bandcamp, anda perlu bayar untuk dengar keseluruhan album dan kualiti audionya juga lebih baik.

Demi akses kepada lebih ramai peminat, keseluruhan album boleh didengari di Youtube juga tetapi dengan kualiti audio yang lebih rendah. Prinsip No Good saya fikir mudah untuk difahami. Mereka mahu karya diakses seramai mungkin tetapi penghargaan tetap dipupuk melalui penjualan digital.

Penjualan digital tiada edisi terhad, motivasi pembeli bukan kebanggaan memiliki produk langka sebaliknya organik untuk menyokong kugiran. Namun, menurut No Good, album fizikal akan tetap dikeluarkan suatu hari nanti.

Nantikan 11 November ini, kita bersila panggung melayan Punk Gong!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya