Selepas kemenangannya menerusi program realiti Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), penyanyi Cliff Umar kemudiannya senyap membisu bagai tiada dari radar.
Perkara itu tentulah membuatkan ramai tertanya-tanya. Apa sudah jadi? Tak akanlah nasib seorang juara terus berkubur begitu sahaja? Banyak pertanyaan yang muncul memandangkan terasa sayang sekali jika bakat dan potensinya untuk terus mekar dalam industri menjadi sepi begitu sahaja.
Pun begitu, di sela waktu ‘ketiadaannya’, sekitar awal tahun ini, muncul pula kisah si bekas isteri yang tiba-tiba membuka pekung Cliff satu persatu termasuk didakwa bukan seorang bapa yang bertanggungjawab dan mengabaikan kebajikan anak-anak.
Hal itu telah dibongkarkan oleh bekas isterinya di media sosial namun Cliff langsung tidak memberi jawapan balas mengenai tuduhan-tuduhan tersebut.
Berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Pancaindera mengambil kesempatan untuk bertanyakan hal sebenar.
Ke mana sebenarnya Cliff pergi selepas kemenangan di GV7 dulu?
Ada perancangan nak terbitkan single selepas GV dulu. Tapi disebabkan kita semua berdepan dengan situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka sebarang perancangan itu tergendala. Bagi saya kalau tetap keluarkan single itu dan teruskan perancangan, ia memang tak akan menjadi. Materialnya semua sudah ada.Sepanjang tempoh itu, saya kumpul material. Tulis lirik, buat lagu dan rakaman serta kejar royalti. Saya juga banyak belajar. Kali ini bukan selalu kita dapat masa terluang semasa dalam PKP itu seperti itu kan? Jadi saya ada banyak masa untuk belajar dan berada di studio.
Tapi tempoh berdiam Cliff itu boleh dikatakan agak lama juga. Tak begitu?
Saya pun sedar, agak lama menyepi. Tapi nak buat macam mana. Bukan terpaksa tapi saya yang pilih untuk tidak muncul atau kejar apa-apa lagi. Sebab, sekali buka buku, anda kena teruskan daripada kita buat kerja tapi tak habiskan. Kenalah siapkan dan pastikan semua rapi, barulah kita keluar. Itu lebih masuk akal.
Maaf bertanya, tetapi selepas kemenangan di GV dan kemudian menyepi itu juga, Cliff juga terpalit dengan tuduhan daripada bekas isteri yang membuka pekung awak di media sosial. Boleh saya tanya apa sebenarnya yang berlaku?
Biasalah, sesiapa pun. Contoh, kalau awak bersuami dan dia menang sesuatu program, awak nak tak ambil duit daripada dia? Walaupun alasannya demi anak? Demi anak juga awak mesti sanggup untuk cakap apa-apa hanya untuk dapatkan duit untuk anak, betul tak? Semudah itu sahaja. Dia (bekas isteri) ada hak untuk bangkang, bantah dan cakap apa sahaja yang dia nak. Apa pun alasannya, yang penting, saya sudah jalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Orang lain tak perlu tahu, sesiapa pun tak perlu tahu sebab bukan urusan mereka. Segala tuduhan itu tidak menjejaskan hidup saya pun. Saya masih terus buat apa yang patut saya buat.
Tapi tuduhan yang timbul disifatkan sangat tiba-tiba dan boleh dikatakan berat juga kerana ia boleh menjejaskan reputasi Cliff sebagai seorang bapa kepada anak-anak. Komen?
Macam saya kata, kalau tak menang tempoh hari, mungkin isu ini tak akan jadi masalah punya. Tak mengapa, di akhir masa nanti, semua ini hanya antara saya, anak-anak dan Tuhan sahaja. Anak-anak saya tahu kebenaran, sudahlah. Adalah beberapa kali berpeluang bercakap dengan anak-anak. Nak kata dapat peluang lama setiap kali pun memang tidaklah. Tidak dibenarkan. Kalau nak bercakap dengan anak pun, kena pastikan ada sesuatu dulu untuk dia. Faham tak? Kena bagi apa yang dia nak, puaskan hati dia dulu. Baru boleh cakap dengan anak.
Tapi bukankah anak-anak yang patut diberi keutamaan?
Kalau dia boleh berfikir begitu, baguslah. Tapi malangnya dia tak fikir begitu. Saya biarkan saja dan teruskan apa yang termampu lakukan. Setiap bulankah, setiap tahunkah. Terpulang pada dia nak canang atau tidak. Itu hak dia. Saya pun tak pernah halang dia untuk cakap apa-apa. Marah pun tidak. Itu dia punya cara. Dia sebagai seorang ibu tunggal yang mencuba untuk perjuangkan untuk anak-anak. Sesiapa pun dalam situasi dia, mungkin akan tambah garam kepada cerita dia.
Cliff seakan tenang apabila diajukan pertanyaan mengenai bekas isteri. Tidak melenting pun. Adakah ini petanda bahawa Cliff sudah terlalu biasa dengan caranya?
Ya. Sudah bertahun-tahun kahwin dan sebab itulah kami bercerai. Sebab dah faham sangat. Nak kata saya tenang sangat pun tidak. Sakit kepala dan bengang juga. Tapi, sampai bila nak bengang? Sampai bila nak sakit kepala? Nanti siapa yang jadi mangsa? Anak-anak bukan?Daripada mereka jadi mangsa, saya mengalah saja. Dia nak canang dengan sesiapa sahaja saya tak boleh larang. Dia dah buat pun sebelum ini termasuk kepada klien saya.
Adakah Cliff rasa, sebagai lelaki, maka berdiam diri adalah jalan yang terbaik?
Tak juga. Dulu, saya akui, selalu bergaduh dengan dia. Selalu persoalkan dia. Kenapa cakap begitu begini. Tapi, sekali lagi, yang jadi mangsa siapa? Anak. Tak patutlah anak kita jadikan mangsa keadaan. Bukan saya tak boleh telan, bukan saya tak boleh hadap benda ini. Paling tidak pun, orang luar cuma boleh bertanya saja. Bukan boleh bawa saya ke mahkamah. Tak apa, saya boleh kendalikan ini. Tak apa orang bertanya pun sebab mereka harus tahu kebenarannya. Walaupun orang dah banyak dengar daripada pihak dia, saya percaya lambat laun orang akan tahu juga apa yang berlaku.
Jadi, adakah Cliff benar-benar menjaga kebajikan anak-anak?
Tempoh hari, selepas menang GV, adalah saya bagi sejumlah wang pada bekas isteri. Dia bising lagi pasal tak bagi apa yang dia nak. Memang saya tak bagilah bila dia nak tuntut lebih. Sedangkan saya hanya boleh beri apa yang termampu. Saya pun ada hutang perlu dilangsaikan. Bukan dia saja, dengan isteri sekarang pun saya ada berhutang dan kena langsaikan. Kalau nak tahu, hari ini (rabu lalu), saya baru saja selesai bayar baki hutang dengan dia sebanyak RM5,000. Keseluruhan hutang ialah RM60,000.
Bagaimana dengan isteri Cliff kini? Tentu dia amat tahu mengenai situasi yang berlaku?
Dia ialah satu-satunya orang yang memahami. Saya bersyukur sangat kepada Tuhan. Kalau dia tak ada, saya boleh jadi gila kot! Dia faham situasi dengan isteri pertama dan dia jugalah yang banyak membantu saya dari segi emosi dan melaluinya. Begitu juga dari aspek kewangan. Saya akui, dulu memang seorang yang tak berguna. Masa itu, kepala pun masih di awang-awangan, tak fokus. Ada masalah dadah, masuk penjara. Macam-macam yang saya lalui di zaman hitam dulu. Tapi, hadapilah. Saya keluar juga penjara, bukan tak keluar. Masih mencuba jadi manusia yang baik.
Beban yang ditanggung, tak mudah dilalui. Komen Cliff?
Beginilah. Kita semua ini, cuma kena jadi satu saja. Kena jujur kepada diri sendiri. Kalau anda jujur dengan diri sendiri, apa pun orang lain kata, anda akan okey. Dalam situasi ini, saya bersyukur kerana isteri sekarang sangat memahami. Kalau bekas isteri nak burukkan saya lagi pun, apa lagi dia nak burukkan? Terpulang pada dia. Orang lain nak fikir apa pun, suka hati. Cukup Tuhan tahu, anak-anak tahu dan isteri tahu.