KUALA LUMPUR : Kini bergelar graduan Sarjana Muda Muzik Kontemporari Universiti UCSI, penyanyi, Aina Abdul, 28, tidak menolak hatinya penuh dengan rasa kesyukuran apabila menatap segulung ijazah yang digenggam di tangan.
Menghadiri sesi graduasi yang berlangsung semalam, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, mengaku selama bergelar seorang pelajar, bukan mudah untuk dirinya mengimbangi dua tugas dalam satu masa yang sama.
“Saya dah habis belajar tahun lalu, tetapi majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah, akhirnya majlis graduasi selamat berjalan dengan lancar semalami dan saya secara rasminya telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.
“Harus saya akui, bukan mudah untuk belajar dan bekerja dalam masa yang sama tetapi saya tetap berusaha mahu menamatkan pengajian. Ada ketika saya rasa letih tapi saya harus mencuba bersungguh-sungguh.
“Saya pernah menangguhkan pengajian pada penghujung 2014 kerana menyertai program Mentor Legend. Selepas itu, saya mula mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa yang sama menyambung pengajian,”katanya.
Selain itu, kata Aina yang popular dengan lagu Semalam dan Sumpah ini, dia sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi bahawa seseorang artis itu harus mempunyai ilmu.
“Saya sedar yang menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan diri dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik, aliran yang saya kini sedang lakukan.
“Jadi saya banyak aplikasikan apa yang saya pelajari dalam kerjaya harian saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan dorongan positif sehingga dia berjaya sehingga ke tahap ini.
“Keluarga, pensyarah, pihak universiti dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan tak berbelah bahagi.
“Peminat saya, Ainations juga menjadi penguat semangat untuk saya melangkah lebih maju. Setiap kali jika saya rasa lemah semangat, saya terus teringat orang yang menyokong saya.
“Saya tak boleh berhenti kerana ramai yang memberikan sokongan serta aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya harus banggakan mereka,” katanya lagi.