Berkuda ajar Sarah Suhairi erti kesabaran - Utusan Malaysia

Berkuda ajar Sarah Suhairi erti kesabaran

Sarah Suhairi berbakat dalam sukan kuda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka selain mempunyai bakat menyanyi, penyanyi remaja Sarah Suhairi rupa-rupanya berbakat dalam sukan kuda.

Jika diperhatikan, hobi artis tempatan bermain kuda tidak ramai yang aktif. Lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita.

Ketika berkongsi mengenai hobinya, penyanyi berusia 21 tahun ini berkata, dia giat bermain kuda sejak tujuh tahun lalu.

“Tidak lama dulu sekitar 2017 saya juga ada kuda sendiri. Tapi sekarang sudah tiada sebab ketika itu saya baru pupuk hobi dan pelatih pun ada seorang sahaja yang berasal dari Indonesia.

“Namun, selepas setahun beliau sudah pulang ke kampung, kuda pun saya ‘lepaskan’ dan yang tinggal hanyalah peralatan dan pakaian berkuda sahaja.

“Sekarang ini kalau pergi ke paddock (tempat bermain kuda) pun saya sekadar menyewa kuda di sana sahaja,” kongsinya.
Minat berkuda katanya, bermula daripada sekadar meluangkan waktu bersama keluarga tercinta.

Kongsi penyanyi Nyawa & Raga ini, hanya kerana seloroh bapa melihat kalendar Cina tahun kuda menjadi punca permulaan hobi itu.
“Kalau dilihat pada kalendar Cina tahun 2014 merupakan tahun kuda. Sudahnya, gara-gara itu satu keluarga ke paddock.
“Bila sudah hampir kerap hasilnya jadi hobi. Tapi lama-kelamaan famili sudah tidak ikut lagi sebab tidak minat. Yang tinggal hanya saya dengan ayah,” ujarnya yang mendapat pendedahan awal aktiviti berkuda di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC).

SERTAI PERTANDINGAN
Bagi Sarah hobinya bukan sekadar meluangkan waktu luang. Sebaliknya dia tekad untuk mendaftarkan diri dalam pertandingan sukan kuda, dressage.

Sukan berkenaan mengkehendaki penunggangnya untuk mengawal kuda agar lebih mendengar kata seperti untuk berlari, lari-lari anak, melompat, bahkan menari. Ibaratnya, Sarah akan menjadikan kuda itu seakan-akan menari balet.

“Insya-Allah saya memang ada merancang untuk daftar diri bagi kategori dressage. Sekarang ini jadual latihan agak terganggu seketika sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, jadual aktiviti seni, masih dalam proses proaktif. Pendek kata, ada saja masa lapang saya akan pergi bermain kuda. Peluang yang ada akan saya gunakan untuk fokus betul-betul untuk latihan.

“Latihan ini memerlukan disiplin masa. Insya-Allah saya juga akan beli kuda lagi,” katanya.

Ditanya sepanjang aktif berkuda, bekas juara musim pertama program realiti Big Stage 2018 ini berkata, aktiviti berkenaan mengajarnya kehidupan terutamanya erti kesabaran dalam menuntut ilmu.

“Bukan sahaja dalam berkuda, tetapi pada perkara lain yang kita buat juga. Setiap hari sebenarnya kita belajar hal-hal yang baharu dan belajarlah daripada kesilapan tersebut,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya