“Abah pergi ketika hatinya terlalu kecewa...” - Salwa Abdul Rahman - Utusan Malaysia

“Abah pergi ketika hatinya terlalu kecewa…” – Salwa Abdul Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bila awak telefon ini, Kak Wa tak tahu nak cerita apa,”

Itulah yang terpacul dari mulut penyanyi bersuara merdu, Salwa Abdul Rahman tatkala saya menghubungi dia untuk menebualnya.

Dari tona suara, jelas dia teruja. Barangkali agak lama dia tidak dihubungi wartawan yang bertanyakan tentang perkembangannya.

Untuk Khabar Legenda kali ini, mengapa tidak Salwa kita pilih sebagai penghiasnya. Dia juga bertaraf legenda. Baktinya kepada dunia seni suara tak perlu kita cerita. Terlalu banyak.

Sejujurnya, ini kali pertama saya mewawancara Salwa. Dia membahasakan dirinya Kak Wa. Sesuai dengan umurnya yang lebih berusia.

Seronok dengar cerita Salwa. Perbualan kami waima hanya panggilan telefon sekalipun, tetap meriah. Umpama jumpa depan mata.

Salwa berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi. Ketika di sekolah pun dia tidak pernah menyanyi. Orang tua tidak membenarkan meskipun ibunya aktif menyanyi bersama kumpulan nasyid di kampung, manakala arwah ayah seorang pemuzik ghazal.

“Dulu, mak dan ayah tak bagi. Mereka nak Kak Wa teruskan belajar. Kalau boleh kerja kerajaan atau jadi doktor. Tapi, minat kepada seni memang ada.

“Jadi, masa sekolah memang tak ada langsung aktiviti menyanyi. Sampailah selepas tingkatan lima, barulah mak dan ayah restu Kak Wa menyanyi,” ceritanya.

Ibu kepada dua anak ini memberitahu tahun 1985 adalah permulaan kepada perjalanan hidupnya sebagai penyanyi. Saya pun tak lahir lagi lahir masa itu.

“Ketika itu baru nak berjinak-jinak. Mulanya dengan menyertai RTM Johor Bahru kawasan selatan untuk menang Bintang Radio RTM Johor Bahru. Masa itu baru 19 tahun.

“Kebetulan pula abang ipar Kak Wa merupakan seorang guru sekolah yang pandai bermain alat muzik. Jadi dialah yang banyak bantu, latih Kak Wa sebelum masuk pertandingan.

“Kak Wa sertai Bintang Radio Pujaan Negeri Johor 1985. Kemudian masuk pula pertandingan UMNO Negeri Johor untuk merebut gelaran Saloma Negeri Johor pada tahun yang sama. Jadi memang pulun habislah masa itu,” ceritanya lagi.

Tidak lama selepas itu, Salwa ditawarkan untuk merakamkan album di bawah Segar Indah Production di Singapura. Itu merupakan album pertamanya yang diterbitkan figura terkenal, Husaini Ajmain.

Katanya, keyakinan ketika itu mula menebal. Dia mahu terus menyanyi dan mencari pendapatan sebagai penyanyi meskipun ibu dan ayah mahukannya teruskan dengan pelajaran.

“Kak Wa buat keputusan, pindah ke Kuala Lumpur. Mak tak izinkan, tetapi arwah Abah memahami. Abah tegas tapi dia memahami. Jiwa seni itu ada dalam dirinya jadi dia benarkan saya pergi.

“Kak Wa yakin boleh sara hidup dengan menyanyi. Tetapi jalannya tak mudah. Dugaan datang silih berganti. Tinggal pula di ibu kota, kita kena kejutan budaya. Menumpang lagi di rumah orang.
Betul-betul menduga.

“Kak Wa berterima kasih kepada penyanyi lama, Azizul Khamis dan Khairil Khamis. Dua orang ini Kak Wa tak akan lupa. Cukup berjasa,” katanya lagi.

Salwa berkata dia amat bersyukur kerana telah dipertemukan dengan orang-orang hebat sepanjang bergelar penyanyi.

“Rezeki Kak Wa dapat berjumpa dengan penyanyi veteran, S. Atan. Dia pula tawarkan Kak Wa hasilkan album kedua. Selepas itu Kak Wa mula bercampur dengan ramai orang industri, termasuk penerbit-penerbit hebat-hebat di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Kak Wa cukup terhutang budi dengan penerbit lama, Noriah Letuar, yang berani ambil Kak Wa sebagai hos rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI) di RTM bersama Rosiah Chik. Alhamdulillah, Tuhan banyak buka jalan untuk Kak Wa,” jelasnya.

ABAH PERGI DALAM KECEWA
Seorang penyanyi itu perjalanan mereka tidak sama. Pasti ada warna kehidupan, gembira dan sedih yang mereka temukan.

Saya ajukan pertanyaan, minta Salwa ceritakan kenangan pahit sepanjang kerjaya sebagai seorang artis.

Salwa tidak mengambil masa panjang, jelas pengalaman yang bakal dikongsikan cukup berbekas di hati wanita ini.

“Bila arwah abah meninggal dunia. Kak Wa sedih, dia pergi dalam keadaan dirinya terlalu kecewa. Dia kesal dengan satu artikel tentang Kak Wa yang diterbitkan sebuah majalah tabloid satu ketika dahulu. Artikel itu mengaibkan.

“Kak Wa pernah bertanyakan dia “abah ada cakap apa-apa dekat wartawan itu? Katanya tiada dan tidak langsung dihubungi wartawan tersebut. Kak Wa tahu, sebagai ayah dia mesti sedih dengan cerita-cerita mengaibkan yang ditulis pasal Kak Wa.

“Tapi dalam hati, Kak Wa tak mahu perkara itu dipanjang-panjangkan. Jadi Kak Wa bertemu dengan pihak majalah berkenaan untuk selesaikan cara baik. Dan lepas itu Kak Wa rancang nak balik Johor, nak pujuk hati abah. Tapi sebelum itu Kak Wa pusing Sungai Wang, sehari suntuk cari jam untuk dihadiahkan kepada arwah.

“Tapi, Allah S.W.T lebih sayangkan dia. Hari itu jugalah abah pergi meninggalkan kami semua. Dia ketika itu berusia 60 tahun. Itulah kenangan pahit, hilang orang yang Kak Wa sayang,” katanya.
Kemudian saya tanya, adakah dia masih simpan jam tersebut. Kata Salwa, dia sendiri pun tidak tahu ke mana hilangnya jam itu.

“Itu lah dia, Kak Wa pernah bawa jam itu ke sebuah program terbitan salah sebuah stesen televisyen (TV) tempatan.

“Kak Wa ceritakan kisah di sebalik jam itu. Tapi rasanya stesen TV itu dah pulangkan lepas rakaman itu.

“Kak Wa pun tak tahu ke mana hilangnya,, macam ghaib. Kak Wa memang terkilan. Sampai sekarang Kak Wa ralat sebab niat memang nak simpan. Tapi tak tahu, Kak Wa tak bagi sesiapa pun. Hilang begitu sahaja,” ceritanya panjang.

RAJIN JAGA PENAMPILAN
Saya tidak menafikan bahawa seorang Salwa Abdul Rahman masih cantik dan mempesona meskipun sudah menjangkau usia 50-an.

Bila disoal tentang rahsia, Salwa memberitahu sedari dahulu lagi dia memang suka kepada kecantikan, kebersihan diri dan solekan.

“Ikut arwah mak, jaga penampilan. Dari kecil lagi Kak Wa jaga, sampailah sekarang ini.

“Suami Kak Wa ahli sukan. Kadang ikut dia bersenam. Selain itu, makan pun kena jaga, berpada-pada orang kata. Kak Wa dan suami selalu juga amalkan mandi wap herba, baik untuk dalaman dan luaran,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Satu Dua Kau ini lagi, dia, sejak usia kanak-kanak lagi amat menitik beratkan penjagaan diri.

Katanya, antara amalan atau petua lama yang dimanfaatkan adalah penggunaan buah kelapa untuk menjaga kecantikan.

“Dahulu, zaman budak-budak, nak cantik tapi tak ada duit. Jadi Kak Wa ikut ajaran arwah mak, lulur minyak dari hampas kelapa itu ke seluruh badan.

“Selain itu, akak pakai Sabut kelapa dik. Ada bahagian lembut, mak Kak Wa ajar untuk hilangkan daki dan kotoran yang melekat di badan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Salwa amat bersyukur kerana masih dikurniakan kudrat dan kebolehan untuk menyanyi.

“Alhamdulillah, Kak Wa bersyukur sangat. Kak Wa pun bukan menyanyi menjerit-jerit sangat pun. Biasa-biasa sahaja,” katanya.

TUMPUAN UNTUK KELUARGA

Salwa mengkui, satu hari nanti kerjaya nyanyian yang dibina selama 36 tahun ini akan ada pengakhirannya.

Katanya dia terima, kerana itulah proses yang dilalui setiap manusia yang mendambakan sisa-sisa pengakhiran hidup dalam tenang dan sejahtera.

Lebih utama katanya, mahligai kebahagiaan yang dibina bersama suami tercinta yang juga bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Subardon Abdul Aziz perlu dijaga sebaiknya.

“Kita ada proses. Kak Wa tak akan menyanyi sampai tua, tidak sama sekali. Sekarang pun Kak Wa sudah perlahankan. Satu masa nanti, Kak Wa rasakan akan tinggalkan dunia hiburan. Rasa dah puas.

“Kak Wa bersyukur dengan apa yang ada. Tumpuan sekaraang ini beralih sepenuhnya kepada keluarga. Mungkin kalau ada kelapangan, bolehlah menyanyi. Tapi dalam usia begini, tidaklah sangat.

Tambah Salwa, hidup berkeluarga adalah satu kurniaan yang terlalu istimewa dan anugerah yang tiada galang ganti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya