Zee Avi ada sebab kembali ke Malaysia - Utusan Malaysia

Zee Avi ada sebab kembali ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, pernah kita dengar rungutan, komen atau sindiran daripada peminat dan pengikut seseorang artis yang berjaya melebarkan sayap ke luar negara yang hampa dengan sikap artis yang mereka sanjungi itu.

Tatkala sudah melangkah dan mengukir kejayaan di luar negara, ada segelintir mereka kononnya bagaikan sudah lupa daratan.

Ia tidak tertumpu cuma pada personaliti. Ia boleh jadi menyentuh aspek lain contohnya seperti pemikiran terlalu kebaratan, mengagungkan orang luar atau memandang rendah pada industri seni tanah air sendiri.

Mendapatkan Zee Avi, penyanyi ini boleh dikatakan adalah antara yang dipuji pandai membawa diri tanpa pernah mencicirkan jati dirinya sebagai ‘anak Malaysia’ walaupun sudah berjuta batu langkahnya pergi sambil mencipta nama di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, sebagai anak seni, penyanyi yang popular dengan lagu Kantoi dan Bitter Heart ini tentunya ada pandangan tersendiri mengenai perihal artis tempatan ‘transformasi’ antarabangsa ini.

ZEE sebelum ini selesa mencipta nama di luar negara dan kini berita baiknya, mendedahkan sudah kembali ke tanah air. Adakah ini bermakna kembali dan terus menetap di sini atau akan berulang-alik ke luar negara untuk urusan kerja muzik dan sebagainya?

Buat masa sekarang, ya, saya kembali ke tanah air. Menikmati masa bersama keluarga dan bersama adik yang kini dah berusia 19 tahun. Tambahan pula, saya
ini sudah menetap di luar negara sudah lebih 10 tahun. Terdetik juga di hati dah cukuplah itu, ini masa untuk kembali ke pangkuan keluarga dan industri muzik
di sini.

Saya lihat, industri kita, terutama dalam kalangan pemuzik muda, ramai yang bagus-bagus. Saya sangat bangga dan teruja. Saya nak berada bersama mereka dan lihat apa yang boleh saya bantu dan progres. Adakah saya kembali untuk selamanya? Jawapannya, saya ikut saja mana-mana rezeki. Senang cerita, ikut sahaja haluannya.

Apa membuatkan Zee kembali ke sini semula dan tentunya peluang di negara orang lebih besar berbanding di sini? Atau sebenarnya Zee ‘lari’ ke luar negara sebelum ini kerana merajuk dengan industri seni kita?

Tak adalah macam itu. Sebenarnya, pada permulaan karier saya, masa itu boleh dikatakan saya masih muda dan sangat mentah. Tak ada pengetahuan sangat
pun dalam industri muzik.

Jadi, masa saya dapat tawaran untuk ke luar negara dulu, saya cuma lihat ia sebagai peluang untuk belajar dan berkembang sebagai seorang artis. Tidak keterlaluan juga, berkembang sebagai individu. Itulah alasan sebenarnya. Merajuk dengan industri seni kita? Tidak. Tidak langsung.

Apa pandangan zee apabila orang kita selalu melihat artis yang melebarkan kerjaya hingga ke peringkat antarabangsa, mudah dikategorikan sebagai artis yang cepat lupa daratan?

Ini satu soalan bagus. Persepsi ini kena diubah. Satu sebabnya, nak sampai ke peringkat antarabangsa ini pun, ia adalah dengan usaha keras. Tidak semua orang Malaysia yang berjaya mara ke peringkat antarabangsa ini cuma di atas pentas.

Malah ramai juga yang berada di sebalik tabir di luar negara. Ada yang berjaya dalam bidang fotografi, skor filem, penataan bunyi dan ada ramai berpeluang bekerja dengan nama-nama besar. Cuma kita tak tahu saja. Saya rasa, kalau kita lebih tahu, tentang suksesnya anak Malaysia di peringkat antarabangsa dan tahu jalan cerita penat lelah mereka, kita akan lebih menghargai mereka ini.

Zee bagaimanapun dilihat bukan artis yang seperti itu, namun sedikit sebanyak barangkali pernah terpalit dengan tanggapan ‘lupa daratan’. Bagaimana Zee kendalikan sikap seseorang yang mudah menghukum terhadap artis seperti Zee?

Dalam industri ini, kita kena terima fakta yang mana, apabila kita letakkan diri kita di luar sana, kita letakkan hati dan jiwa kita di luar sana, memang secara tak langsung kita sedang membuka ruang untuk orang menghargai kita atau tidak. Macam mana saya kendalikan? Saya cuma akan terus lakukan apa yang cintai, iaitu menghasilkan muzik. Selain itu, saya akan pastikan diri dikelilingi oleh individu-individu yang betul-betul kenal diri saya. Syukur sangat mereka yang saya kenal semuanya dalam kelompok yang berfikiran positif.

Sebagai seorang pemuzik dan artis, pernah tak Zee terfikir, orang kita ini seakan sukar menerima kejayaan artis tanah air ke luar negara. Sepatutnya ia dilihat sebagai usaha mengharumkan nama negara, tapi bila sudah berjaya, ada saja yang dikecamnya.

Sejak saya balik ke tanah air sekitar 2018, saya perhatikan, kelompok pemuzik, anak-anak seni, artis dan key leaders dalam industri di Malaysia ini, jika dapat saling bekerjasama, memang sesuatu yang hebat akan berlaku. Itu memang betul.

Saya rasa, semuanya bermula dengan pendidikan. Kita kena didik orang ramai menghargai bakat anak-anak tempatan dan bagaimana untuk menghargai ekosistem dalam industri. Kalau kita dapat capai hasrat ini dan saling menyokong, saya yakin kita akan dapat melihat lebih ramai lagi anak tempatan mengukir kejayaan di peringkat antarabangsa.

Perancangan Zee dari sudut karier? Terutama dalam menghangatkan industri muzik tempatan?

Ya tentu! Salah satu sebab saya balik ke tanah air kerana masa itu, saya lihat ramai bakat tempatan terutama daripada generasi muda meningkat naik. Saya kagum dan terinspirasi dengan semangat mereka yang begitu individualistik dan unik.

Sebenarnya, kita di negara ini terdiri daripada orang yang sangat unik. Menerusi seni dan kreativiti dan muzik. Sebab, kita ada pelbagai kaum dan bahasa. Kerana itu ia menjadikan kita unik dalam mengekspresikan emosi, pemikiran. Tentu, saya memang nak sangat menyumbang kepada industri tempatan dalam apa jua cara.

Satu lagi. Saya dan sahabat, Brendan De Cruz ada mengendalikan program di Clubhouse yang diberi nama Nada Music. my. Ia satu platform di mana bakat-bakat tempatan boleh sertai untuk berkomuniti, boleh sembang santai, nyanyi, main muzik Harap-harap bila industri dah semakin dibuka ini, kami dapat buat persembahan sama-sama secara langsung. Doakan ya.

Berpeluang terlibat dalam Tapau fest, acara yang bakal diadakan pada hujung bulan ini, boleh zee kongsikan sedikit rasa keterujaan itu?

Saya memang sangat teruja untuk menyertai Tapau Fest nanti sebab satu daripadanya kerana sudah lama tak buat persembahan dan lama tak jumpa anggota band lain. Untuk acara ini, kami akan buat persembahan istimewa sikit. Saya pun sangat bersyukur sebab industri sudah mula buka balik dan saya tahu, rakan-rakan dalam industri pun merasakan hal serupa, iaitu dapat buat persembahan semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya