SIRI drama Netflix, Squid Game terus menjadi buah mulut pelbagai pihak sejak ia ditayangkan buat pertama kali pada 17 September lalu.
Drama itu mengisahkan tentang 456 peserta dengan pelbagai masalah hidup direkrut dalam siri permainan kanak-kanak yang menyaksikan sekiranya kalah, mereka akan dibunuh.
Seorang daripada tunjang utama siri tersebut, Jung Ho-yeon, 27, menjadi antara watak paling menonjol menerusi karakter Kang Sae-byeok atau peserta Nombor 67.
Dalam siri itu, Ho-yeon memegang watak sebagai pelarian Korea Utara yang misi utamanya mencari duit bagi menyatukan keluarganya.
Apa yang lebih manis, Squid Game adalah lakonan pertama Ho-yeon yang sebelum ini menjadi model fesyen antarabangsa.
Tampil dengan ekspresi wajah yang serius, tidak banyak bercakap dan senyum menjadikan watak yang dipegang Ho-yeon lebih ‘hidup’ dan para penonton dapat merasai penderitaan yang dihadapi Sae-byeok.
Malah, ada pihak menyifatkan raut wajah Ho-yeon sebagai unik dan berbeza dengan kebanyakan drama Korea lain yang sering menampilkan watak heroin jelita.
Wajah sombong Ho-yeon itu juga dikatakan menjadi antara ‘pelaris’ dalam plot Squid Game.
Menerusi satu wawancara bersama majalah W Korea, Ho-yeon memberitahu, dia tidak menyangka akan terpilih untuk membintangi drama tersebut.
“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak pengurusan supaya menghafal skrip dan merakam video pendek mengenai watak yang diberikan.
“Kemudian, barulah saya diberitahu saya sudah menjalani proses pemilihan pelakon dan terpilih untuk membintangi drama tersebut.
“Sudah tentu saya berasa amat gembira kerana ini adalah lakonan pertama saya,” katanya.
Gementar tapi teruja
Selain itu, Ho-yeon berkata, dia gementar untuk berlakon kerana menjadi model fesyen dan pelakon merupakan dua perkara yang sangat berbeza.
Dia sering tertanya-tanya adakah dia mampu membawa watak yang diberi dengan baik, selain berlakon dengan barisan pelakon hebat.
“Saya sering terfikir adakah saya mampu mendukung watak yang diberi dan adakah penonton boleh terima lakonan saya?
“Saya membuat banyak persediaan untuk berlakon dalam drama itu termasuk menonton banyak dokumentari mengenai rakyat Korea Utara yang berpaling tadah.
“Selain itu, saya juga kerap berlatih bertutur dialek Korea Utara bagi menjadikan watak Sae-byeok berjaya,” ujarnya.
Jadi model sejak 16 tahun
Ho-yeon mendedahkan, dia mula menjadi model fesyen sejak berusia 16 tahun sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut.
Kariernya dalam bidang peragaan mula memuncak pada 2013 apabila Ho-yeon menyertai rancangan realiti, Korea’s Next Top Model dan menang tempat ketiga.
Kemudian, kerjayanya terus berkembang apabila menyertai Minggu Fesyen Seoul sebelum membuat penampilan di peringkat antarabangsa.
Pada 2017, Ho-yeon dipilih oleh Pengarah Kreatif Louis Vuitton, Nicolas Ghesquiere untuk menyertai pentas peragaan bagi Koleksi Musim Luruh/Sejuk.
Squid Game taruhan pertama
Menghabiskan kebanyakan masanya di luar negara atas tuntutan kerjaya sebagai model, Ho-yeon akhirnya membuat keputusan mencuba perkara baharu iaitu dengan berlakon.
Selebriti ini pulang ke Korea Selatan pada awal 2020 sebelum menandatangani kontrak untuk berlakon dalam Squid Game.
Jadi perhatian
Penampilan pertama Ho-yeon dalam Squid Game menyaksikan aktres itu memperoleh perhatian dan populariti dalam sekelip mata.
Sebagai bukti, jumlah pengikutnya dalam media sosial meningkat mendadak hanya dalam masa beberapa hari iaitu dari 400 kepada 1.6 juta pengikut.
Selain itu, pelbagai pihak terus memberi sokongan kepada pelakon wanita itu supaya meneruskan lakonan yang mantap.
“Walaupun dia berlakon buat pertama kali, lakonannya sangat bagus seperti pelakon senior yang lain,” menurut kebanyakan pengguna media sosial.
Hubungan cinta
Ho-yeon dilaporkan mula menjalin hubungan cinta dengan aktor Lee Donghwi sejak 2016, namun pasangan kekasih itu lebih selesa untuk tidak terlalu ‘menunjukkan hubungan mereka’ di khalayak.